Antara antiviti free market yang diadakan di Kampung Guntur, Kuala Pilah. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Mohd Khidir Zakaria


TIDAK sampai dua jam, semua barangan habis diambil penduduk kampung Orang Asli ketika program Pasar Percuma di Kampung Guntur, Kuala Pilah, hari ini.

Menurut Tok Batin Kampung Guntur, Jani Panglima Alang, 53, ini kali pertama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat program seumpama itu di kampung berkenaan.

“Lebih 200 penduduk hadir termasuk 60 ketua keluarga kategori asnaf yang menerima bantuan barangan makanan harian daripada Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9).

“Saya mewakili penduduk kampung amat berbesar hati dengan kedatangan mereka dan mengadakan pasar percuma membabitkan pelbagai barangan seperti pakaian terpakai, barangan makanan dan buah-buahan,” katanya.

Katanya, paling seronok adalah kanak-kanak kerana ada aktiviti sukaneka yang memeriahkan program.

“Terima kasih kepada sukarelawan PERKASIH N9 yang datang dan mengadakan program di kampung ini. Yang paling seronok kanak-kanak kerana pelbagai aktiviti sukaneka diadakan serta hadiah.

“Kalau mereka (PERKASIH N9) nak datang lagi, kami amat mengalu-alukan. Kampung kami jauh dari bandar, bila orang luar datang, orang kampung teruja," katanya.

Sementara itu, Pengerusi PERKASIH N9, Norfadilah Mansor berkata, program itu disertai 20 sukarelawan PERKASIH N9 yang bermula dari 10 pagi hingga 12 tengah hari.

“Setiap dua bulan sekali kami akan mengadakan program seperti ini (free market), dan kali ini kami memilih perkampungan Orang Asli di Kampung Guntur, Kuala Pilah.

“Alhamdulillah, sambutan diterima amat baik apabila sejak awal pagi lagi sebahagian mereka sudah menunggu di balai raya kampung ini.

“Terima kasih kepada sukarelawan yang hadir dan kepada penyumbang barangan seperti barangan asas makanan, buah, sayuran dan pakaian terpakai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 January 2020 @ 4:25 PM