WAN Azizah (kanan) mempengerusikan mesyuarat berkenaan wabak 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) di Bangunan Perdana Putra hari ini. FOTO BERNAMA
Nurul Hidayah Bahaudin


TIADA keperluan untuk menghantar pulang pelancong dari China ekoran penerbangan keluar masuk dari Wuhan, China sudah disekat kerajaan republik itu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan China sudah mengeluarkan perintah berkurung bagi rakyatnya di Wuhan.

“Pihak China sudah mengambil tindakan menyekat penerbangan antarabangsa dan domestik dari Wuhan selain tidak membenarkan pakej pelancongan secara berkumpulan bagi warganegaranya ke luar negara bermula 23 Januari lalu.

“Malah, syarikat penerbangan AirAsia sudah menghentikan penerbangan dari Wuhan selepas larangan (berkurung) itu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Kluster Koronavirus Baharu (2019 nCoV) di Pejabat Timbalan Perdana Menteri, di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya serta Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Khairul Dzaimee Daud, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Ditanya mengenai adakah visa dari China akan dihentikan seketika, Wan Azizah berkata, pihaknya sedang menimbangkan keperluan untuk mengurangkan visa dari negara itu.

“Seperti diperkatakan Perdana Menteri, kita mengikut saranan WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) belum sampai ke tahap itu, tapi kita meneliti dan menimbangkan jika ia dapat dikurangkan, ketika ini kita ambil pandangan daripada WHO," katanya.

Wan Azizah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, kawalan kemasukan di pintu masuk negara diperketatkan membabitkan semua penumpang penerbangan dari China termasuk warga tempatan wajib melalui saringan kesihatan terperinci.

“Semua rakyat Malaysia yang melawat atau pulang bercuti dari Wuhan terutamanya mengalami simptom diminta untuk melaporkan diri segera ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan.

“Bagi mereka yang tidak mempunyai simptom dikehendaki memantau status kesihatan masing-masing dalam tempoh 14 hari,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan pihaknya mengesahkan empat kes positif koronavirus di negara ini.

Sementara itu, mengulas kebimbangan orang ramai mengenai pelancong China yang sudah berada di Malaysia, Wan Azizah berkata, kerajaan akan berbincang dengan Kedutaan China di Malaysia terutama membabitkan isu logistik.

“Kalau mereka ada simptom kita akan lihat seperti insiden yang berlaku di Johor apabila kita panggil polis untuk membantu dalam aspek kuarantin.

“Ini salah satu masalah yang kita bincang iaitu logistik, kalau ramai sangat datang nak letak mana kerana mereka sihat tiada simptom.

“Nak kuarantin di mana dan salah satu cadangannya kita bincang dengan Kedutaan China," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 January 2020 @ 8:09 PM