Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya, Pembangunan Keusahawanan negeri, Mohd Asmirul Anuar Aris (kemeja putih) ketika beramah mesra bersama pengunjung sempena program santai sarapan pagi di Pasar Besar di sini hari ini. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman

KERAJAAN negeri Kedah menafikan gambar tular di media sosial kononnya terdapat rakyat China melarikan diri ke Pulau Langkawi kerana takut dengan penularan Koronavirus baharu (2019-nCoV).

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya, Pembangunan Keusahawanan negeri, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, beliau kecewa dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab mereka cerita berita berkenaan.

Katanya gambar dan info tular itu menyebabkan rakyat risau dan menjadi kucar kacir.

"Saya memohon agar netizen jangan membuat perkara yang tidak sepatutnya, ia menjadikan rakyat kelam kabut dengan berita yang tidak benar.

"Dalam masa yang sama, rakyat perlu bijak menilai apa-apa gambar serta isu yang ditularkan, kita ada Kementerian Penerangan dan agensi lain untuk kita semak berita yang sahih," katanya ketika ditemui selepas program santai sarapan pagi bersama rakyat di Pasar Besar, Alor Setar, hari ini.

Justeru, Asmirul berharap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dapat mencari dalang dan mengambil tindakan terhadap pihak yang membuat berita paslu berkenaan berikutan ia menimbulkan persepsi negatif dan kerisauan rakyat.

Sebelum ini, tular gambar ketibaan 180 penumpang dari Nanjing, China di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi menerusi penerbangan sewa khas menggunakan pesawat Malindo Air.

Mereka adalah pelancong yang dibawa oleh syarikat pelancongan pada 17 Januari dan sudah pulang ke China pada Selasa lalu.

Dalam masa yang sama, Mohd Asmirul berkata kerajaan mengambil langkah memperketatkan kawalan pemeriksaan keselamatan dan suhu badan di pintu masuk lapangan terbang, terminal feri, dan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) bagi memastikan virus ini tidak merebak dalam negara.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 12:22 PM