Lokasi penemuan bayi lelaki yang ditinggalkan. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


BAYI lelaki yang masih bernyawa ditemui di hadapan pintu tandas di sebuah Tokong Cina di Kampung Pulai Baru, Tepoh, Kuala Nerus malam tadi.

Bayi yang dipercayai baru dilahirkan itu ditemui pada jam 9 malam oleh pekerja kilang papan warga Bangladesh ketika ingin ke tandas berkenaan.

Abdul Karim, 38, berkata, bayi itu ditemui rakan serumahnya.

“Rakan saya ketakutan ketika memberitahu kepada saya kerana menyangkakan dia menemui mayat bayi.

“Dia (rakan) mahu menggunakan tandas di kawasan itu kemudian terkejut apabila menemui bayi yang dibungkus dengan kain batik.

“Dia kemudian memaklumkan kepada orang kampung sebelum bergegas ke lokasi dan mendapati bayi itu masih bertali pusat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan penemuan bayi berkenaan.

“Bayi itu dibawa ke Pusat Rawatan Ibu dan Bayi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk menerima rawatan.

“Bayi itu dilahirkan cukup bulan dan sifat tetapi terdapat gigitan serangga pada bahagian siku tangan kanan kerana ditinggalkan terlalu lama.

“Doktor tidak dapat mengesahkan berapa lama bayi itu dilahirkan kerana masih bertali pusat selain tiada kesan BCG pada bayi itu,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 317 kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 1:17 PM