ABU Hasan dan Khairunnisah dipertemukan semula selepas terpisah hampir 35 tahun.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


HARI ini menjadi hari bersejarah buat dua beranak apabila dipertemukan semula selepas 35 tahun berpisah.

Abu Hasan Razali, 60, disatukan dengan seorang daripada dua anaknya iaitu Khairunnisah, 35.

Menurut Abu Hasan dari Sungai Betul Atas, Tanjung Piandang, Parit Buntar, dia terpisah dengan keluarganya selepas membawa mereka berhijrah ke Kuala Lumpur pada 1985.

Katanya, disebabkan sibuk mencari pekerjaan dan mahu menambah pendapatan keluarga, dia terleka hingga tidak sedar isteri Halimah Yon, 58, dan dua anaknya ‘hilang’.

“Bertahun-tahun saya mencari mereka tetapi tidak jumpa, sehinggalah hari ini kami berjaya ditemukan hasil bantuan 1Malaysia Tow Truck Car Carrier (1MTTCC).

“Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Parit Mat Alam, Nazli Mohd juga membantu,” katanya.

Abu Hasan yang kini bekerja kampung bersyukur dipertemukan dengan Khairunnisah dan kini mahu mencari seorang lagi anaknya, Mohd Syukri, 37.

Katanya, mengalu-alukan semua pihak yang mempunyai maklumat lelaki itu dengan menghubungi talian 019 5479649.

Sementara itu Khairunnisah berkata, dia dijaga ibu angkat, Kamsiah Md Said, 55, sejak berusia empat bulan dan sudah dimaklumkan masih mempunyai ibu bapa kandung.

“Dari kecil lagi sudah dimaklumkan begitu, dan saya buat pelbagai cara untuk mencari ibu bapa saya termasuk dengan menyebar maklumat di group WhatsApp 1MTTCC, pada awal tahun.

“Alhamdulillah akhirnya dapat juga bertemu ayah dan inilah pertemuan paling bermakna apatah lagi saya akan berkahwin dengan tunang (Mohd Fazli Mohd Afendi, 35) pada Februari ini,” katanya.

Katanya, ikhtiarnya kini mahu mencari ibu kandung dan abangnya yang dikhabarkan bertugas sebagai polis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 5:59 PM