MAS Ermieyati beramah mesra dengan pemimpin KRT pada Jamuan Minum Petang Bersama KRT Parlimen Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar


AHLI Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin menjelaskan desakan akar umbi mendorong beliau mencabar Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Masjid Tanah, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Katanya, beliau tidak berniat menafikan kepemimpinan Mohd Redzuan yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU negeri dalam memimpin parti bahagian berkenaan, sebaliknya menghormati permintaan pemimpin dan ahli BERSATU di peringkat akar umbi.

“Saya menerima desakan dan permintaan yang berterusan daripada pemimpin dan ahli di peringkat akar umbi supaya memimpin bahagian.

“Itu adalah harapan mereka dan saya berpendapat, amat penting untuk kita menyatukan semula bangsa Melayu di bawah parti yang kuat dan bersatu padu demi kelangsungan bangsa dan negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Jamuan Minum Petang Bersama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Parlimen Masjid Tanah di Dewan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan DUN (JAPERUN) Lendu, Alor Gajah hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Melaka, Teh Faridah Abdul Jalil dan Pengerusi Jawatankuasa Permuafakatan KRT (JPKRT) Masjid Tanah, Nazri Ramli.

Mas Ermieyati berkata, beliau mengemukakan borang pencalonan semalam dan harus menunggu hingga esok pengesahan parti sama ada dibenarkan bertanding atau sebaliknya.

Selain beliau, seorang lagi pencabar Mohd Redzuan atau lebih dikenali dalam kalangan pemimpin dan ahli parti sebagai Pak Wan ialah Setiausaha BERSATU bahagian, A Lukman Abdul Ghani iaitu anak bekas Ketua Menteri Melaka keempat, Datuk Abdul Ghani Ali.

Mas Ermieyati yang juga bekas Ketua Puteri UMNO keluar daripada UMNO pada 1 Julai 2018, iaitu dua bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebelum mengemukakan borang keahlian BERSATU kepada Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad pada pertengahan Disember 2018.

Mas Ermieyati, 44, yang memenangi kerusi Parlimen Masjid Tanah pada PRU-13 atas tiket Barisan Nasional (BN) disahkan sebagai ahli BERSATU Cawangan Ramuan Cina Kecil, Masjid Tanah pada 31 Disember 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 6:29 PM