FOTO Hiasan
Baharom Bakar


“KAMI hanya menerima elaun sebanyak RM400 sebulan untuk mengajar al-Quran di Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) milik Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

“Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat, elaun dibayar hanya cukup untuk mengisi minyak motosikal dan kereta sahaja,” kata guru yang enggan namanya disiarkan ketika ditemui di Kuala Terengganu, hari ini.

Guru Tabika berkenaan berkata, elaun untuk guru pintar al-Quran berjumlah RM500 sebulan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri sejak 2017.

Namun, katanya, kerajaan negeri bertindak memotong elaun sebanyak RM100 sebulan sejak September lalu.

“Kami kecewa berikutan tindakan dilakukan kerajaan negeri yang memotong elaun kami,” katanya yang ditugaskan selama dua sehari setiap minggu mengajar al-Quran untuk murid prasekolah berusia antara empat dan enam tahun.

Pengarah Kemas Terengganu, Dr Faridah Mat ketika dihubungi mengesahkan pemotongan elaun sebanyak RM100 oleh kerajaan negeri sejak September lalu itu.

“Kemas mempunyai 700 guru pintar al-Quran dan ditugaskan mengajar al-Quran di 700 kelas Tabika di seluruh negeri,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

Luahan kekecewaan guru pintar al-Quran itu mendapat simpati Timbalan Majlis Senator Malaysia (MSM), Senator Datuk Razali Idris.

Razali yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Terengganu meminta Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) mengambil alih untuk pembayaran elaun kepada semua guru pintar al-Quran yang mengajar di Tabika Kemas di seluruh negeri.

Beliau berkata, sepatutnya dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat, kerajaan negeri tidak memotong elaun, sebaliknya menaikkan kadar itu.

Berikutan tindakan kerajaan itu, katanya, KPLB didesak supaya mengambil alih pembayaran elaun yang dinafikan haknya oleh kerajaan negeri.

“Kita bukan sahaja mendesak KPLB mengambil alih pembayaran elaun kepada semua guru pintar al-Quran, sebaliknya meminta kadar elaun dinaikkan kepada RM700 sebulan.

“Saya sudah menyuarakan masalah dihadapi semua guru pintar al-Quran Tabika Kemas pada persidangan Dewan Negara Disember lalu, tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan oleh KPLB,” katanya.

Razali menjelaskan untuk terus membela nasib semua guru pintar al-Quran Tabika Kemas dan akan membuat desakan pada persidangan Dewan Negara Mac depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 12:05 PM