ANGGOTA polis mengangkat mayat mangsa. FOTO ihsan polis
Abdul Rahemang Taiming


MAYAT wanita ditemui dalam sebuah bangunan terbengkalai di Jalan Nusantara, Tawau, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat itu daripada seorang lelaki yang melalui kawasan itu 1.52 tengah hari.

Menurutnya, siasatan awal polis mendapati mangsa dikenali sebagai Thien Nyuk Yin berumur 48 tahun dipercayai mengalami gangguan mental dan tinggal seorang diri di bangunan terbengkalai berkenaan.

“Mangsa sudah lebih setahun tinggal di bangunan terbengkalai itu selain bergantung hidup kepada ihsan pengusaha gerai makanan di kawasan berhampiran yang memberinya makanan dan minuman.

“Pemeriksaan ke atas tubuh mangsa tidak menemukan sebarang tanda yang mencurigakan atau perbuatan jenayah,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Tawau, untuk bedah siasat.

“Usaha mengesan waris mangsa sedang giat dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 11:26 PM