Gambar hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang individu yang dipercayai menyebarkan berita palsu mengenai wabak koronavirus baharu, semalam.

SKMM dalam kenyataan, di Kuala Lumpur hari ini, memaklumkan, suspek berumur 34 tahun itu ditahan di kediamannya di Bangi, Selangor jam 4 petang bagi membantu siasatan terhadap satu muat naik di laman Facebook pada 26 Januari lalu.

“Kandungan yang dimuat naik mengenai virus itu didapati palsu. Kami turut merampas telefon bimbit milik suspek dan kad SIM yang digunakan untuk memuat naik kandungan berkenaan.

“Suspek itu disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi tempoh satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

SKMM menjelaskan tindakan tegas itu adalah usaha pihaknya bersama PDRM untuk mengawal penyebaran berita tidak sahih mengenai wabak koronavirus baharu oleh individu tidak bertanggungjawab sehingga mampu menggugat kestabilan negara dan ketenteraman awam.

“SKMM dan PDRM kini giat mengesan tiga lagi suspek bagi membantu siasatan,” katanya.

Terdahulu, SKMM dan PDRM mengenal pasti empat individu untuk membantu siasatan penyebaran berita palsu berkaitan dengan virus itu pada 27 Januari lalu.

Dalam kenyataan media bersama, PDRM dan SKMM memaklumkan pihak mereka akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan kandungan, khabar angin atau berita tidak sahih mengenai penularan wabak koronavirus baharu di negara ini.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 January 2020 @ 8:30 AM