ANGGOTA APM menjalankan rondaan di kawasan terjejas banjir. FOTO ihsan APM
Rosman Shamsudin


KIRA-kira 75 penduduk Kampung Behrang Ulu dan Kampung Sungai Sekiah di Tanjung Malim dipindahkan ke dewan orang ramai akibat banjir kilat, 6 petang tadi.

Hujan lebat sejak petang semalam menyebabkan paras Sungai Behrang meningkat secara mendadak dan memasuki kawasan kampung.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Muallim, Kapten (PA) Shahrizal Hussin berkata, sehingga kini anggota APM bersama Sekretariat Pengurusan Bencana (SPB) Daerah Muallim masih menjalankan kerja memindahkan mangsa.

Menurutnya, air yang naik secara mendadak memasuki ke penempatan menyebabkan ramai mangsa tidak sempat menyelamatkan harta benda.

“Tiada sebarang kecederaan atau kemalangan dilaporkan setakat ini dan kami masih mengumpul maklumat mangsa yang terjejas.

“Operasi menyelamat dan memindahkan mangsa masih dijalankan oleh semua pihak sebelum kami menempatkan mangsa di pusat pemindahan sementara,” katanya ketika dihubungi.

Shahrizal berkata, APM kini bersiap sedia bersama SPB memandangkan cuaca masih mendung dan berkemungkinan hujan berterusan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 January 2020 @ 8:13 PM