SEBUAH bengkel kenderaan berat di Jalan Hutan Kampung musnah dalam kebakaran. FOTO ihsan bomba
Zuliaty Zulkiffli


SEBUAH bengkel kenderaan berat persendirian di Jalan Hutan Kampung, Alor Setar, musnah dalam kebakaran hari ini.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, bengkel terbabit dilaporkan musnah 90 peratus.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada 8.42 malam.

Beliau berkata, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar tiba diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Zulkifle Md Isa di lokasi pada 8.49 malam.

“Operasi disertai sembilan anggota dan dua jentera serta sebuah motosikal RIM.

“Selain itu, operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Tunjang, Taman Mutiara, Pokok Sena, Bukit Pinang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, api berjaya dikawal pada 8.59 malam sebaik anggota BBP Alor Setar tiba di lokasi.

“Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kebakaran itu.

“Setakat ini punca dan kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 January 2020 @ 11:25 PM