PAKAR Perunding Penyakit Berjangkit Hospital Sungai Buloh Dr Benedict Sim menyampaikan taklimat berkenaan isu jangkitan 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) kepada para wakil media yang hadir pada sesi taklimat oleh para pakar kesihatan Kementerian Kesihatan di Putrajaya hari ini. FOTO BERNAMA
PAKAR Perunding Penyakit Berjangkit Hospital Sungai Buloh Dr Benedict Sim menyampaikan taklimat berkenaan isu jangkitan 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) kepada para wakil media yang hadir pada sesi taklimat oleh para pakar kesihatan Kementerian Kesihatan di Putrajaya hari ini. FOTO BERNAMA
Nor 'Asyikin Mat Hayin


PENUTUP mulut dan hidung tiga lapisan adalah paling sesuai digunakan orang awam sebagai langkah pencegahan ekoran penularan wabak koronavirus baharu (2019-nCov).

Pakar Perunding Penyakit Berjangkit, Hospital Sungai Buloh, Dr Benedick Sim berkata, ia lebih selamat kerana boleh menghalang virus berkenaan tersebar melalui pengudaraan jika individu terkena titisan cecair dari hidung atau mulut yang dijangkiti koronavirus.

"Kita tidak menggalakkan penggunaan penutup mulut dan hidung jenis satu lapis dan N95.

"Bagaimanapun, penutup mulut dan hidung yang digunakan perlu ditukar dalam tempoh beberapa jam untuk mengelakkan kuman terus membiak," katanya pada sesi taklimat kepada isu jangkitan coronavirus di Kementerian Kesihatan di Putrajaya, hari ini.

Semalam, Kementerian Kesihatan mengesahkan tiga lagi kes terbaharu wabak 2019-nCoV membabitkan rakyat China di negara ini menjadikan tujuh kes direkod di setakat ini.

Sejak 10 Januari hingga jumlah kumulatif kes Pengesanan Kes Yang Disyaki (PUI) jangkitan koronavirus baharu ialah 78 orang.

Beliau berkata, buat masa ini penularan koronavirus baharu masih terkawal dan statusnya tidak mencapai tahap membimbangkan serta tiada jangkitan kuman setakat ini.

"Situasi sekarang belum sampai tahap keperluan memakai penutup hidung dan mulut apabila berada di tempat awam.

"Terpulang kepada mereka sesiapa yang mahu memakai penutup hidung dan mulut sebagai langkah pencegahan.

"Kita faham, situasi semasa mencetuskan rasa panik dalam kalangan orang ramai dan utamakan kebersihan diri," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 January 2020 @ 3:59 PM