TAN Sri Muhyiddin Yassin. FOTO BERNAMA
TAN Sri Muhyiddin Yassin. FOTO BERNAMA
Mohamed Farid Noh


KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) bersedia mengambil langkah termasuk memperluaskan sekatan terhadap kemasukan warga China bagi mengekang wabak koronavirus baru, jika ia diputuskan jawatankuasa dipengerusikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kementeriannya akan menuruti apa jua keputusan yang diputuskan KKM susulan pengisytiharan koronavirus sebagai darurat kesihatan awam global oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Di peringkat negara, ada jawatankuasa yang dipengerusikan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, yang akan membuat keputusan dan KDN adalah ahli jawatankuasa itu.

“Jika sudah diisytiharkan WHO sebagai darurat awam global, kita kena teliti segera sama ada wajar Malaysia perluaskan langkah sekatan kerana kini, hanya Wuhan dan Huabei yang kita sekat.

“Jika jawatankuasa putuskan perlu perluaskan lagi sekatan dan kabinet bersetuju, KDN akan laksanakannya segera,” katanya.

Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Cawangan, Srikandi dan Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Bahagian Pagoh di Dewan Serbaguna Pagoh di sini, hari ini.

WHO hari ini mengumumkan koronavirus yang hingga kini mengakibatkan kematian lebih 200 orang di China sebagai darurat kesihatan awam global apabila ia merebak ke 18 negara.

Susulan taklimat kesihatan di Geneva, Switzerland awal pagi tadi, badan kesihatan dunia itu memutuskan beberapa tindakan kritikal harus diambil pada kadar segera, bukan sahaja oleh pihak berkuasa China, malah negara lain untuk membendung penularan virus maut itu.

Isnin lalu, kerajaan memutuskan untuk menggantung sementara semua kemudahan imigresen iaitu Entry (kemudahan tanpa visa), visa semasa ketibaan (Visa On Arrival), e-visa dan visa manual kepada rakyat dari China khususnya dari Wuhan, Hubei dan sekitarnya.

Kemudahan imigresen berkenaan dilaporkan akan diberikan semula, yang akan diselaraskan oleh Wisma Putra bersama kerajaan China, selepas keadaan kembali normal daripada wabak itu.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 January 2020 @ 8:37 PM