DR Noor Hisham. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
DR Noor Hisham. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Amir Abd Hamid

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) sedia maklum penularan di media sosial baru-baru ini mengenai seorang pesakit disyaki Koronavirus Baharu (2019-nCoV) yang enggan diletakkan di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian sebuah hospital di Selangor.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, selepas pihak hospital berkenaan membuat laporan polis, pesakit disyaki itu berjaya dikesan.

“Pesakit disyaki itu kemudian dimasukkan ke dalam wad untuk siasatan dan rawatan. Keputusan sampel klinikal yang diambil pada Jumaat lalu, dilaporkan negatif virus terbabit.

“Hasil siasatan, pesakit berkenaan adalah warga Malaysia dan mempunyai sejarah melawat Wuhan, China.

“KKM berterima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di atas kerjasama dalam mengesan pesakit disyaki ini,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa’aton Abu Bakar mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian berkenaan daripada seorang doktor yang bertugas di Hospital Sungai Buloh (HSB).

Sementara itu, Noor Hisham berkata, berhubung perkembangan terkini kluster Koronavirus Baharu, tiada pertambahan kes yang positif virus itu.

“Sehingga jam 12 tengah hari hari ini, jumlah kumulatif kes positif Koronavirus Baharu yang dilaporkan adalah kekal lapan kes iaitu tiga dalam kalangan pesakit di bawah siasatan (PUI) dan lima dalam kalangan kontak rapat.

“Jumlah kumulatif kes PUI jangkitan Koronavirus Baharu adalah 142 orang dan enam orang masih menunggu keputusan makmal.

“Kontak rapat kepada kes positif Koronavirus Baharu kekal 32 orang,” katanya.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan ini melalui maklumat yang diperoleh daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan perkembangan terkini mengenainya.

Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Krisis (CPRC) KKM di talian 03-88810200/600/700 atau emel [email protected].

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Februari 2020 @ 7:47 PM
    Kabinet Malaysia 2020