Nor Amalina Alias

SEORANG guru pra sekolah tampil dengan idea unik apabila menggunakan sambungan batang paip sebagai alat bantu mengajar murid Orang Kurang Upaya (OKU).

Guru berkenaan, Ahmad Fakhrurrazi Che Daud berkata, alatan yang diberi nama ‘Ahmad Kecek’ itu dicipta tahun lalu bagi membantu murid OKU mendengar dan menyebut dengan lebih jelas.

Katanya, sembilan komponen batang paip termasuk sebatang paip PVC yang dipotong kepada beberapa bahagian digunakan untuk menghasilkan alat pendengaran dan pertuturan.

“Sambungan batang paip itu boleh dilaras dan diubahsuai mengikut kegunaan di mana kita boleh buat tiga reka bentuk alatan dengan fungsi berbeza. Alatan satu untuk dua murid OKU bercakap dan mendengar, alatan kedua (seorang bercakap dan mendengar). Manakala (alatan) ketiga berbentuk seperti telefon untuk kegunaan seorang murid sahaja untuk dia bercakap dan mendengar sendiri suaranya,” katanya ketika ditemui dalam Karnival Penyelidikan dan inovasi UMK 2019 di UMK Kampus Bachok, di Bachok, hari ini.

AHMAD Fakhrurrazi bersama murid Orang Kelainan Upaya (OKU), Muhammad Alfatih Ammar mendengar menggunakan alat 'Ahmad Kecek'. FOTO Nor Amalina Alias
AHMAD Fakhrurrazi bersama murid Orang Kelainan Upaya (OKU), Muhammad Alfatih Ammar mendengar menggunakan alat 'Ahmad Kecek'. FOTO Nor Amalina Alias

Ahmad Fakhrurrazi berkata, setiap reka bentuk memakan masa kurang seminit untuk disambung selain bentuknya yang unik menarik minat murid OKU untuk belajar.

“Ciptaan inovasi itu timbul apabila saya menyedari murid OKU mempunyai kesukaran memahami atau menyebut beberapa huruf yang bunyinya seakan sama. Contohnya, sebutan huruf T dan P di mana mereka menyebut ‘kerepa’ untuk sebutan sebenar ‘kereta’.

“Kebetulan satu hari seorang murid OKU saya bernama Ahmad Amar (kini darjah satu) bermain-main dengan penyambung saluran getah dengan mengajuk cara orang bercakap di telefon bersama rakan-rakannya.

“Dari situ, timbul idea untuk cipta alat bantu ini dengan menggunakan batang paip yang kosnya lebih jimat selain murid seronok apabila dapat belajar sambil bermain alatan itu,” katanya.

Guru Sekolah Kebangsaan Datu Hashim, Pengkalan Chepa itu berkata, selain alatan, dia dan beberapa guru turut mencipta modul pembelajaran yang disesuaikan dengan peralatan itu bagi sesi pembelajaran dan pengajaran (PDP) dalam bilik darjah.

AHMAD Fakhrurrazi (tiga dari kanan) bersama murid Orang Kelainan Upaya (OKU) dan pengungung ketika pameran alat 'Ahmad Kecek' dalam Karnival Penyelidikan dan inovasi UMK 2019 di UMK Kampus Bachok. FOTO Nor Amalina Alias
AHMAD Fakhrurrazi (tiga dari kanan) bersama murid Orang Kelainan Upaya (OKU) dan pengungung ketika pameran alat 'Ahmad Kecek' dalam Karnival Penyelidikan dan inovasi UMK 2019 di UMK Kampus Bachok. FOTO Nor Amalina Alias

“Alatan ini juga dapat memperbetulkan sebutan, makraj, jeda, nahu dan vokal individu yang mempunyai masalah sengau, pelat dan masalah pendengaran,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar sekolah berkenaan, Hamidah Che Abdul Hamid berkata, ciptaan Ahmad Fakhrurrazi banyak membantu 61 murid OKU kelas pendidikan khas integrasi darjah satu hingga enam di sekolah berkenaan yang terdiri daripada murid sindrom down dan autisme.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Februari 2020 @ 4:47 PM