PESAWAT AirAsia yang akan membawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan. FOTO Ihsan NADMA.
PESAWAT AirAsia yang akan membawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan. FOTO Ihsan NADMA.
Amir Abd Hamid


WARIS semua 161 individu yang bakal pulang ke tanah air dari Wuhan, China, dilarang berjumpa mereka sehingga tempoh kuarantin selama 14 hari selesai.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, larangan itu turut terpakai kepada 12 kru penerbangan AirAsia dan lapan pegawai kerajaan yang menyertai misi hari ini.

Beliau berkata, itu adalah prosedur misi bantuan kemanusiaan dan bencana (HADR) Malaysia ke China yang dilaksanakan berikutan penularan koronavirus baharu (2019-nCoV).

Bagaimanapun, katanya, orang ramai yang menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang tidak perlu bimbang.

“Ini kerana, semua yang pulang dari Wuhan tidak akan masuk ke terminal.

“Sebaliknya mereka terus dibawa dengan bas khas ke Unit Kecemasan Udara (ADU) untuk menjalani proses dekontaminasi dan saringan kesihatan,” katanya dalam sidang media di Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Datuk Seri Dr Chen Chaw Min; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Rohaizat Yon; Pengarah Kawalan Penyakit KKM Dr Norhayati Rusli.

RAKYAT Malaysia yang dibawa pulang dari Wuhan akan dibawa ke ADU untuk saringan kesihatan dan dekontaminasi. FOTO Ihsan KKM.
RAKYAT Malaysia yang dibawa pulang dari Wuhan akan dibawa ke ADU untuk saringan kesihatan dan dekontaminasi. FOTO Ihsan KKM.

Dzulkefly berkata, saringan masuk dan dekontaminasi untuk semua penumpang akan dibantu Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bersama KKM.

“Mereka tidak bergejala akan dibawa ke pusat pemantauan yang terletak tidak jauh dari KLIA.

“Sementara, mereka yang menunjukkan gejala akan terus dibawa ke hospital rujukan sama ada di Hospital Sungai Buloh atau Hospital Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan lokasi pusat pemantauan untuk kuarantin itu kerana ia berada di bawah tanggungjawab Agensi Pengurusan Bencana (NADMA).

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Februari 2020 @ 5:59 PM