CHARLES Santiago, (dua,kanan) melihat keadaan tapak pelupusan sampah haram di Kampung Belida, Kuala Ketil. FOTO Nor Farhani Che Ad
CHARLES Santiago, (dua,kanan) melihat keadaan tapak pelupusan sampah haram di Kampung Belida, Kuala Ketil. FOTO Nor Farhani Che Ad
Nor Farhani Che Ad


SURUHANJAYA Perkhidmatan Air Negara (SPAN) gesa kerajaan mengambil tindakan tegas dalam menangani isu pembuangan sisa di kawasan sekitar sungai.

Pengerusi SPAN Charles Santiago berkata, masalah itu kini dilihat semakin serius apabila ia dikesan berlaku di seluruh negara.

“Sungai menjadi sumber air mentah yang diambil oleh loji sebelum disalurkan bagi kegunaan orang ramai untuk diminum dan sebagainya.

“Apabila sisa sampah dibuang di tepi sungai, dikhuatiri boleh menjejaskan kualiti air sungai berkenaan sekali gus memberi kesan terhadap air yang kita minum,” katanya ketika mengadakan lawatan ke tapak pelupusan sampah haram di Kampung Belida, Kuala Ketil dekat Baling hari ini.

Dalam perkembangan sama, pihaknya meminta kerajaan negeri mengambil tindakan proaktif dalam menyelesaikan isu tapak pelupusan sampah haram di Kampung Belida.

Menurutnya, sisa buangan berkenaan perlu dialihkan segera bagi mengelakkan risiko pencemaran terhadap Sungai Muda yang berada berhampiran dengan kawasan sampah itu.

“Sungai Muda menjadi bekalan sumber air kepada Pulau Pinang, Kedah dan Perlis selain digunakan oleh kira-kira 50,000 petani untuk tanaman mereka.

“Walaupun tindakan menutup kawasan itu sudah dilakukan tetapi kita lihat sisa sampah seperti sisa plastik, elektronik dan bahan binaan masih berada di sini,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai supaya segera melaporkan sebarang aktiviti pembuangan sampah di kawasan yang tidak dibenarkan kepada pihak berkuasa.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Tan Kok Yew berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci bagi menentukan kandungan sisa sampah yang dibuang di tapak pelupusan sampah berkenaan.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya mendapati antara sisa yang dibuang di kawasan berkenaan adalah sisa domestik, sisa binaan dan sisa plastik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Februari 2020 @ 2:54 PM