SUSPEK lelaki warga Thailand berjaya ditangkap pemilik rumah ketika sedang cuba memecah masuk rumahnya di Taman Cobra, Cabang Empat Salam di Rantau Panjang. FOTO Ihsan PDRM
SUSPEK lelaki warga Thailand berjaya ditangkap pemilik rumah ketika sedang cuba memecah masuk rumahnya di Taman Cobra, Cabang Empat Salam di Rantau Panjang. FOTO Ihsan PDRM
Syaherah Mustafa


LELAKI warga Thailand yang cuba memecah masuk sebuah rumah di Taman Cobra, Cabang Empat Salam di Rantau Panjang semalam gagal apabila perbuatannya disedari oleh pemilik rumah terbabit.

Perbuatan lelaki berusia 32 tahun terbabit disedari pada 3.45 petang itu sebelum bergelut dengan pemilik rumah itu hingga dia mengalami kecederaan di muka, kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, perbuatan suspek yang mengumpil pintu hadapan rumah itu disedari isteri pemilik rumah sebelum dia segera menghubungi suaminya di tempat kerja.

Menurutnya, suami mangsa terus bergegas pulang dan sebaik tiba di kediamannya didapati suspek sudah berjaya membuka pintu depan rumahnya.

“Sebaik menyedari kehadiran pemilik rumah, suspek cuba melarikan diri tetapi dikejar dan berjaya ditangkap.

“Polis turut dimaklumkan berlaku pergelutan antara mereka apabila suspek bertindak agresif sebelum kaki dan tangannya diikat.

“Selepas suspek ditangkap, pemilik rumah memeriksa di sekitar kediamannya dan mendapati pakaian yang dijemur olehnya sebelum ini berada dalam bungkusan kain yang diletak di luar pagar rumah dipercayai cuba dibawa lari lelaki berkenaan.

“Anggota dari Balai Polis Rantau Panjang terus ke lokasi kejadian untuk menahan suspek selepas dihubungi mangsa.

“Suspek kemudiannya dibawa ke Hospital Pasir Mas (HPM) untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Mohamad Roy berkata, hasil siasatan didapati suspek terbabit tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah selain mengaku seorang penganggur.

“Dia ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

“Saya berharap agar masyarakat lebih peka serta berhati-hati agar tidak menjadi mangsa samun dan mengambil langkah segera dengan menelefon pihak polis segera jika mengesan sebarang kegiatan mencurigakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Februari 2020 @ 4:02 PM