SALMIN (dua dari kanan) bersama motosikal dimenanginya. FOTO Amir Mamat
SALMIN (dua dari kanan) bersama motosikal dimenanginya. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat


Kalau sudah rezeki tidak ke mana. Itulah dilalui seorang anggota tentera apabila terpilih sebagai individu bertuah memenangi hadiah berupa motosikal Yamaha Y15ZR atau lebih dikenali sebagai Ysuku, semalam.

Salmin Izuan Salleh, 32, yang bertugas di Kem Terendak, tidak menyangka nombor ‘bip’ diberikan kepadanya pada acara ‘Bike Gathering, Fun Ride & Neon Fun’ sempena Program Gegau Melaka Gegau 2020, kelmarin membawa tuah.

Lebih menarik, rezeki berpihak kepada anak kelahiran Perak itu apabila tiga pemilik nombor bip dipanggil tidak muncul di atas pentas.

Sehinggalah cabutan nombor kali keempat oleh EXCO Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis itu menyebut nombor penyertaannya untuk memenangi motosikal itu.

“Apabila pengacara majlis pada cabutan pertama itu menyebut nombor bip lain, saya rasa kecewa dan mengajak rakan untuk pulang.

“Namun, apabila tiada pemilik nombor muncul, saya tetap menunggu untuk cabutan kedua serta ketiga dan situasinya tetap sama.

“Saya benar-benar kecewa serta menganggap tiada rezeki. Sehinggalah cabutan keempat apabila pengacara membacakan nombor L1177, saya yang berada di hujung padang terus menjerit seronok,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Salmin berkata, motosikal Ysuku itu sudah lama diidamkannya, namun hasrat memilikinya tidak tertunai kerana harganya yang mahal.

Bagaimanapun, hasrat itu dimakbulkan Allah SWT apabila anggota keselamatan berpangkat koperal itu akhirnya memiliki kenderaan diidamkannya.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak terutama Datuk Muhammad Jailani yang menganjurkan program ini,” katanya.

Program Gegau Melaka Gegau 2020 yang menawarkan hadiah cabutan bertuah keseluruhan bernilai RM20,000 itu diadakan di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia dengan penyertaan seramai lebih 5,000 peserta dari dalam dan luar negara.

Ia dianjurkan bersama Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Rembia, Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Jabatan Ketua Menteri Melaka, Jabatan Belia dan Sukan negeri serta Persatuan Kelab Belia Malaysia (MAYC) Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Februari 2020 @ 5:06 PM