ANTARA PATI yang ditahan dalam serbuan Operasi Bersepadu dilakukan JIM Putrajaya di lapan premis sekitar Puchong, Selangor, hari ini.
ANTARA PATI yang ditahan dalam serbuan Operasi Bersepadu dilakukan JIM Putrajaya di lapan premis sekitar Puchong, Selangor, hari ini.
Nurul Hidayah Bahaudin


SEORANG pekerja restoran warga asing nekad melarikan diri ke dalam paya bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.

Namun, tindakannya sia-sia apabila dia ditahan anggota penguat kuasa yang sudah mengepung lokasi serbuan.

Pekerja warga asing berkenaan antara 23 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan dalam serbuan Operasi Bersepadu dilakukan 22 pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya di lapan premis sekitar Puchong, Selangor, hari ini.

Sumber berkata, seramai 31 individu terdiri daripada 19 lelaki dan 12 wanita diperiksa dalam operasi berkenaan.

“Pelbagai ‘aksi’ dilakukan PATI untuk melarikan diri dalam serbuan ini termasuk ada pekerja restoran warga asing bertindak melarikan ke dalam paya. Malah, ada di antara warga asing cuba melarikan diri ke bumbung bangunan serta seorang PATI yang berpura-pura pengsan.

“Namun, mereka berjaya ditahan selepas anggota penguat kuasa mengepung lokasi berkenaan. Difahamkan seorang PATI turut cedera di kaki akibat terkena zink ketika cuba melarikan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, hasil serbuan dilakukan di lapan lokasi berkenaan, JIM menahan 23 warga asing membabitkan 14 lelaki dan sembilan wanita.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada warga Myanmar, Indonesia, Sri Lanka dan India berusia antara 20-an hingga 40-an.

“Sebanyak empat borang saman kepada saksi turut dikeluarkan dalam operasi itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Februari 2020 @ 10:20 PM