X
PEGAWAI penguat kuasa KPDNHEP Cawangan Kuala Pilah dan Seremban menyerbu kilang makanan menggunakan logo halal sudah ditarik balik di Kuala Pilah, semalam. FOTO ihsan KPDNHEP.
PEGAWAI penguat kuasa KPDNHEP Cawangan Kuala Pilah dan Seremban menyerbu kilang makanan menggunakan logo halal sudah ditarik balik di Kuala Pilah, semalam. FOTO ihsan KPDNHEP.
Amran Yahya


SEBUAH kilang memproses makanan di Kuala Pilah diserbu pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Kuala Pilah dan Seremban selepas didapati menggunakan logo halal tanpa kebenaran pihak berkuasa, semalam.

Pengarah KPDNHEP Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, Perakuan dan Penandaan Halal kilang itu sudah ditarik balik pada penghujung tahun lalu.

“Pemilik premis itu masih berdegil menggunakan tanda halal pada pembungkusan produknya walaupun perakuan itu sudah ditarik balik.

“Berikutan itu, mereka didapati melakukan kesalahan di bawah Perintah 4(1) (a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) (Pindaan) 2012,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ain Arjuna berkata, pihaknya merampas 48 peket biskut panjang dan 24 peket biskut bulat dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM266.40.

Beliau berkata, sekiranya didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM250,000 dan tidak melebihi RM500,000 untuk kesalahan kali kedua bagi perbadanan.

Katanya, jika bukan perbadanan atau milikan tunggal, denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan denda tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan kali kedua.

“Pengguna dan peniaga diingatkan agar peka terhadap penggunaan logo halal sah.

“Orang ramai boleh mengemukakan aduan berhubung perkara ini melalui aplikasi WhatsApp di talian 0192794317 atau datang ke KPDNHEP berdekatan,” katanya.

Terdahulu, serbuan bermula 10 pagi hingga 12.30 tengah hari itu membabitkan 13 anggota penguat kuasa diketuai Ketua Cawangan KPDNHEP Kuala Pilah, Ahmad Khuzairi Salamat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Februari 2020 @ 9:04 PM