GAMBAR hiasan. Arkib NSTP.
GAMBAR hiasan. Arkib NSTP.
Rafiqah Dahali


SABAH memperluaskan lagi perintah larangan sementara untuk sekatan perjalanan pelancong ke negeri itu, susulan penularan wabak koronavirus baharu.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew berkata, langkah diambil selepas dipersetujui Kabinet negeri sebagai menunjukkan pendirian Sabah dalam menangani penularan wabak.

Antaranya, warga asing dan rakyat Malaysia yang bukan berasal dari Sabah dan mempunyai rekod perjalanan ke China dalam tempoh 14 hari, tidak dibenarkan untuk memasuki negeri itu.

“Sementara itu, rakyat Sabah, penduduk tetap dan warga asal Sabah dengan pas kerja, pas pelajar, pas lawatan sosial jangka masa panjang atau sebarang perintah pengecualian yang kembali dari China diwajibkan untuk menjalani kuarantin.

“Kuarantin boleh dilakukan di rumah masing-masing selama 14 hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penumpang penerbangan transit yang berasal atau melalui China juga tidak dibenarkan memasuki Sabah.

“Manakala bagi warga China yang masih berada di Sabah, dinasihatkan untuk berlepas atau kembali ke negara asal sebelum tamat tempoh visa mereka,” katanya.

Menurutnya, mereka hanya akan diberi tempoh satu ke tujuh hari lanjutan sekiranya visa berkenaan tamat tempoh.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Februari 2020 @ 11:17 AM
    Kabinet Malaysia 2020