LIOW CAI TUNG
LIOW CAI TUNG
Omar Ahmad


SEKTOR pelancongan Johor dijangka berdepan tempoh sukar dalam masa tiga bulan akibat penularan wabak koronavirus baharu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Liow Cai Tung berkata, pihaknya tidak menafikan penularan wabak itu memberi impak kepada sektor pelancongan dan ekonomi.

Katanya walaupun tiada statistik namun hasil maklum balas daripada persatuan dalam industri pelancongan menyatakan sektor itu terjejas buat masa ini.

“Saya anggap isu koronavirus ialah isu antarabangsa dan global, di mana impak dari segi ekonomi dan pelancongan turut terjejas. Kita juga tidak nafikan ia turut menjejaskan kempen Tahun Melawat Johor 2020.

“Dari segi maklum balas bersama persatuan industri pelancongan, penurunan pelancong bukan sahaja dari China dan Singapura sebaliknya ia turut memberi kesan kepada pelancong domestik.

“Pelancong domestik risau dan kerisauan itu menyebabkan mereka tidak mahu melancong ke negeri lain ataupun negeri sendiri.

“Saya anggap kita akan menghadapi satu tempoh yang sukar sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga bulan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Flag Off Road Tour Visit Johor 2020 di Bangunan Jotic, di Johor Bahru, pagi tadi.

Menurut Cai Tung, pihaknya akan berjumpa dengan pemain industri dalam masa terdekat bagi membincangkan pelan tindakan pemulihan.

“Dalam jangka masa pendek, kita akan berbincang dengan pemain industri tetapi saya rasa mereka juga faham kerana ini adalah isu global”, katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Februari 2020 @ 1:34 PM