NORENA Jaafar (kiri) menunjukkan pembungkus belacan yang menggunakan logo halal. FOTO Amir Mamat
NORENA Jaafar (kiri) menunjukkan pembungkus belacan yang menggunakan logo halal. FOTO Amir Mamat


SEBANYAK 371 keping belacan bernilai RM978 adalah antara lapan barangan yang dirampas dan dilupuskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri Melaka.

Belacan buatan sebuah syarikat yang beribu pejabat di Tanjung Minyak, Bukit Rambai, di sini, dirampas selepas pihak berkuasa jabatan itu mendapati logo halal yang digunakan pada pembungkus makanan berkenaan adalah palsu.

Pengarahnya, Norena Jaafar, berkata, rampasan yang dibuat bulan lalu itu adalah susulan operasi berkala dilakukan pihaknya terhadap premis dan pasar malam sekitar negeri ini bagi mengekang penjualan barangan tiruan serta menyalahi undang-undang.

Katanya, susulan operasi sejak awal bulan lalu, pihaknya berjaya merampas barangan berjenama tiruan membabitkan nilai keseluruhan RM363,553.

"Barangan pelbagai jenama yang diciplak itu adalah hasil daripada 11 kes sitaan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 dan satu kes di bawah Akta Cap Dagangan 2019.

"Antara kejayaan terbesar menerusi operasi Bahagian Penguatkuasaan KPDNHEP negeri itu adalah rampasan 777 pelbagai barangan termasuk pakaian, tali pinggan dan sarung kaki yang menggunakan jenama Versace bernilai RM303,576.

"Barangan lain yang dirampas dan dilupuskan adalah cakera video digital (DVD) bernilai RM38,760, arak tiruan (RM599), kasut pelbagai jenama terkenal (RM6,160), tali pinggang pelbagai berjenama (RM780) serta kasut dan selipar pelbagai jenama tiruan (RM10,590), seluar (RM2,110)," katanya pada sidang media di stor KPDNHEP di Krubong, Melaka, tadi.

Turut hadir, Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Melaka, Muhammad Aizudin Mohd Said.

Norena berkata, semua barangan berkenaan dirampas menerusi beberapa operasi berkala yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan KPDNHEP negeri di beberapa premis di pasar raya terkemuka selain pasar malam dan uptown.

Katanya, ia adalah hasil maklumat orang ramai yang dikatakan tertipu selepas memberi pakaian menggunakan jenama popular itu.

"Saya menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika membeli pakaian atau barangan berjenama di pasaraya kerana jenama asli tidak sewenang-wenangnya menawarkan harga murah seperti yang ditawarkan oleh peniaga.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan tidak bertanggungjawab peniaga itu boleh melaporkan terus kepada KPDNHEP," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Februari 2020 @ 5:58 PM