KEADAAN siling rumah yang roboh di Taman Lembah Permai Bedong selepas seorang lelaki cuba bersembunyi daripada di tahan pihak AADK. FOTO Ihsan AADK
KEADAAN siling rumah yang roboh di Taman Lembah Permai Bedong selepas seorang lelaki cuba bersembunyi daripada di tahan pihak AADK. FOTO Ihsan AADK
Nor Farhani Che Ad

CUBAAN lelaki bersembunyi di atas siling rumahnya bagi mengelak ditahan pihak berkuasa gagal apabila siling berkenaan roboh di Taman Lembah Permai Bedong, Sungai Petani, malam tadi.

Lelaki berusia 27 tahun itu dipercayai terbabit dalam penyalahgunaan dadah ditahan dalam operasi Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sehingga 11.30 malam tadi.

Ketua Pegawai AADK Daerah Kuala Muda, Arnida Ishak berkata, ketika ditahan, lelaki terbabit masih berada dalam keadaan khayal dan mengugut untuk membunuh diri.

Beliau berkata, dalam operasi sama di Taman Seri Putra, Sungai Petani pula, bapa kepada lima anak sanggup memasang kamera litar tertutup (CCTV) di rumahnya bagi mengesan kehadiran pihak berkuasa.

BAPA kepada lima anak yang ditahan dalam operasi yang dijalankan AADK di Taman Seri Putra, Sungai Petani. FOTO Ihsan AADK
BAPA kepada lima anak yang ditahan dalam operasi yang dijalankan AADK di Taman Seri Putra, Sungai Petani. FOTO Ihsan AADK

“Bagaimanapun, dengan kecekapan anggota operasi, lelaki berusia 36 tahun itu ditahan di rumah berkenaan.

“Ketika tangkapan dilakukan, lelaki terbabit sedang menghisap dadah di ruang tamu di hadapan isteri dan tiga orang anaknya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dua lelaki berkenaan antara 18 individu berusia 15 hingga 40 tahun yang ditahan kerana positif dadah.

Dalam operasi itu, pihaknya turut menumpukan 14 kawasan lain yang dipercayai menjadi antara lokasi panas di sekitar daerah Kuala Muda.

Antara lokasi yang terbabit adalah Perumahan Awam Tanjung Dawai, Kampung Tengah Padang Temusu, Kampung Bukit Acheh Merbok, Taman Lembah Bujang Bedong, Taman Universiti Jaya Semeling dan Kampung Pulau Sayak Kota Kuala Muda.

ANTARA yang ditahan. FOTO Ihsan AADK
ANTARA yang ditahan. FOTO Ihsan AADK

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati 10 yang ditahan positif dadah jenis methamphetamine dan morfin, tujuh positif methamphetamine dan seorang positif ganja.

Beliau berkata, kesemua disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Februari 2020 @ 12:35 PM