LELAKI yang dipercayai menetak suami isteri. FOTO Rosli Ilham.
LELAKI yang dipercayai menetak suami isteri. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham


SUSPEK yang dipercayai menetak seorang buruh ladang sehingga maut di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Beril Paka, Dungun ditahan pada 9 pagi hari ini.

Suspek berusia 29 tahun yang juga bekerja sebagai buruh di ladang itu ditahan ketika bersembunyi di belakang rumah kongsi kira-kira 50 meter dari tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, polis yang menerima laporan kejadian daripada isteri mangsa pada 4 pagi, terus melancarkan gerakan memburu suspek.

“Suspek dikesan bersembunyi di belakang rumah kongsi sebelum ditahan. Turut dirampas sebilah parang sepanjang 0.4 meter dipercayai digunakan untuk menetak mangsa.

“Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun untuk siasatan lanjut dan ditahan lokap sementara dibawa ke mahkamah untuk mendapat perintah reman, “katanya pada sidang media di IPD Dungun hari ini.

Baharudin berkata, isteri mangsa yang turut cedera kini sedang dirawat di Hospital Dungun.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kita akan mengambil keterangan isteri mangsa bagi mengetahui punca sebenar kes terbabit, “katanya.

Dalam kejadian pada 2.45 pagi hari ini, mangsa Mohd Zukanain Abd Aziz, 39, maut ditetak di bahagian lehernya.

Isteri mangsa, Rosnah Muhamed, 34, yang turut ditetak terselamat dan cedera di tangan kanan ketika menahan tetakan parang suspek.

Sebaik menetak kedua-dua mangsa, suspek warga Indonesia yang dikenali sebagai Joko berusia, 29, bertindak melarikan diri.

Berita berkaitan

Suami maut ditetak, isteri cedera

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Februari 2020 @ 12:40 PM