TONG gas petroleum cecair yang di sita. FOTO ihsan KPDNHEP
TONG gas petroleum cecair yang di sita. FOTO ihsan KPDNHEP
Amirul Aiman Hamsuddin


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyita 490 tong gas petroleum cecair (LPG) bernilai RM 97,422.40 yang dikesan disimpan tanpa lesen di sebuah premis di Batu 5 1/2, Jalan Meru, Klang, Selangor, semalam.

Pengarah KPDNHEP Selangor Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, serbuan pada jam 6 pagi itu dijalankan sepasukan enam anggota KPDNHEP susulan aduan awam diterima.

"Hasil pemeriksaan, kami merampas 401 tong LPG seberat 14 kilogram, 86 tong LPG seberat 12 kilogram dan tiga tong LPG seberat 50 kilogram.

"Malah, kami turut menyita sebuah lori tiga tan model Hicom dengan muatan LPG itu," katanya tadi.

Beliau berkata, pemilik premis berusia 50-an turut gagal menunjukkan dokumen yang berkaitan barang kawalan LPG.

"Arahan mengikut Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 dikeluarkan kepada pemilik premis bagi mengisytiharkan stok-stok semasa barang kawalan LPG dan mengemukakan dokumen atau maklumat berkaitan barang kawalan.

"Malah, premis ini disyaki melanggar Peraturan 3 (1) dan menjadi kesalahan di bawah Peraturan 21 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974," katanya.

Difahamkan suspek berjaya mengaut keuntungan puluhan ribu ringgit `percuma’ hasil kegiatan penyelewengan gas LPG subsidi setiap bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Februari 2020 @ 3:43 PM