Tengku Adnan Tengku Mansor. FOTO arkib NSTP
Tengku Adnan Tengku Mansor. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

BEKAS Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan, Putrajaya hari ini supaya hakim yang mendengar perbicaraan kes rasuah RM1juta yang dihadapinya menarik diri.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Datuk Yaacob Md Sam membenarkan rayuan Tengku Adnan untuk mengetepikan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang enggan menarik diri daripada mendengar kes itu.

Turut bersidang adalah Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Hadhariah Syed Ismail.

Hakim Yaacob memutuskan bahawa rayuan yang dikemukakan oleh Tengku Adnan itu mempunyai merit dan mewajarkan campur tangan mahkamah.

Beliau berkata hakim baharu akan membuat keputusan sama ada untuk memulakan semula kes itu atau meneruskan perbicaraan itu.

Setakat ini dua saksi pendakwaan sudah memberi keterangan dalam perbicaraan itu.

Hakim Yaacob menetapkan 18 Februari depan untuk sebutan kes itu di hadapan Hakim Mohd Nazlan susulan keputusan Mahkamah Rayuan itu.

Ia juga adalah tarikh sepatutnya perbicaraan itu disambung semula.

Tengku Adnan, 69, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 20 September tahun lalu yang menolak permohonannya supaya hakim itu menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes yang dihadapinya.

Ahli Parlimen Putrajaya itu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima suapan iaitu wang berjumlah RM1 juta daripada ahli perniagaan Datuk Tan Eng Boon melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank kepunyaannya (Tengku Adnan).

Perbuatan itu didakwa dilakukan sebagai upah untuk meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) bagi menaikkan ratio plot berkaitan dengan pembangunan Lot 228 di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Tingkat 2, Blok Podium, Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail di sini pada 27 Disember 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Februari 2020 @ 5:43 PM