Foto hiasan
BERNAMA

BANDUAN Britain yang pengsan di penjara United Kingdom (UK) dan disyaki dijangkiti Covid-19 sudah menjalani pemeriksaan perubatan dan menunjukkan tidak mempunyai gejala virus itu sebelum diekstradisi.

Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Thailand Dr Sophon Iamsirithawon berkata, lelaki berusia 31 tahun itu diekstradisi pada 27 Januari lalu.

“Lelaki itu sihat dan tidak demam. Dia berupaya untuk perjalanan jauh. Dia dibawa balik ke UK dua minggu lalu dan mungkin dijangkiti virus di tempat lain.

“Bagaimanapun, kami sedang menunggu maklumat daripada UK,” katanya dalam sidang media di Bangkok hari ini.

Banduan British itu ditahan di Pattaya pada 1 November tahun lalu atas kesalahan berkaitan dadah, dilaporkan pengsan di HM Prison Bullingdon di Oxfordshire pada Isnin.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Koreksional Thailand Naras Savestanan berkata, jabatan itu sudah mengambil semua langkah pencegahan terhadap Covid-19, nama rasmi bagi novel koronavirus 2019 seperti yang diumumkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), di semua penjara di negara itu.

“Terdapat 374,406 banduan di Thailand. Kami tidak menerima sebarang laporan mengenai banduan yang dijangkiti virus itu,” katanya.

Pada masa ini, terdapat 33 kes disahkan di Thailand dengan 11 daripadanya sudah sembuh sepenuhnya dan dibenarkan pulang manakala 22 lagi masih berada di hospital.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 12:31 AM