Najib Razak hadir pada prosiding bela diri di Mahkamah Tinggi FOTO ASWADI ALIAS.
Najib Razak hadir pada prosiding bela diri di Mahkamah Tinggi FOTO ASWADI ALIAS.
BERNAMA

MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa adalah tidak wajar bagi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membeli jam tangan mewah untuk isterinya Datin Seri Rosmah Mansor menggunakan sumbangan yang dikatakan daripada Arab Saudi.

Bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, 67, berkata beliau bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwa Raya Datuk V Sithambaram berhubung penggunaan sumbangan yang dikatakan daripada Almarhum Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saud.

Sithambaram: Beli jam tangan Chanel berharga setengah juta ringgit untuk isteri Najib, adalah penggunaan yang tidak wajar?

Anifah: Sudah tentu tidak (wajar).

Sebelum ini, dikemukakan di mahkamah bahawa Najib membelanjakan US$130,625 (RM466,330.11) di butik Chanel di Honolulu, Amerika Syarikat pada 2014 untuk membeli seutas jam tangan mewah sebagai hadiah harijadi Rosmah.

Terdahulu, ketika membacakan kenyataan saksinya, bekas Ahli Parlimen Kimanis itu berkata beliau difahamkan Raja Abdullah tidak mahu sumbangan wang itu “disalurkan secara tidak jelas.

Menurutnya, ia mungkin mendatangkan masalah dalam penyalurannya dan meletakkan wang itu dalam akaun peribadi Najib bagi membolehkan wang itu lebih mudah dikawal.

Anifah, saksi keenam pihak pembelaan, memberitahu mahkamah bahawa bekas perdana menteri ada bertanya pendapatnya tentang sumbangan kewangan dipindahkan ke dalam akaun bank peribadinya.

“Saya beri jaminan kepada beliau bahawa ia tidak apa-apa kerana sumbangan itu untuk digunakan bagi tujuan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan politik.

“Ia adalah menjadi amalan biasa dalam UMNO bagi presiden parti bertanggungjawab secara peribadi terhadap sebahagian besar dana politik,” katanya.

Menurutnya, Najib ada memberitahunya bahawa sumbangan itu untuk tujuan CSR dan Kabinet tidak dimaklumkan berhubung sumbangan itu kerana ia sumbangan peribadi daripada Raja Abdullah kepada Najib.

Kepada soalan lain, Anifah berkata beliau tidak pernah bertemu dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low semasa beliau memegang jawatan sebagai menteri luar.

Sebelum prosiding berakhir hari ini, peguam mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bahawa laporan oleh seorang pakar tulisan tangan mengenai tandatangan Najib pada 13 dokumen utama SRC International Sdn Bhd akan siap pada 26 Februari ini.

“Pakar sudah selesai memeriksa dokumen yang dipertikaikan semalam, dan boleh menyiapkan laporan itu, selewat-lewatnya pada 26 Februari ini.

“Sekiranya pakar lambat menyerahkan laporannya itu, kami akan memberikan laporan itu kepada pihak pendakwaan dalam tempoh 12 jam,” katanya.

Bagaimanapun, Sithambaram berkata, mustahil untuk pihak pendakwaan meneliti laporan itu dalam masa singkat.

Berikutan itu, Hakim Mohd Nazlan memerintahkan pihak pembelaan untuk memberi maklumat terkini mengenai laporan itu pada Isnin.

Muhammad Shafee juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan akan mengaturkan pegawai penyiasat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dikenali sebagai Nasarudin, untuk memberi keterangan pada Isnin minggu depan sebagai saksi ketujuh pihak pembelaan.

Najib sedang membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyalahgunakan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, terdiri daripada tiga pertuduhan jenayah pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya berhubung dengan dana SRC.

Perbicaraan bersambung Isnin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 5:09 PM