MOHAMED Azmin (kanan) dan Ahmad Samsuri (kiri) melihat pemandangan ketika lawatan kerja di Jambatan Angkat. FOTO Baharom Bakar
MOHAMED Azmin (kanan) dan Ahmad Samsuri (kiri) melihat pemandangan ketika lawatan kerja di Jambatan Angkat. FOTO Baharom Bakar
Baharom Bakar

KERAJAAN mungkin memperkenalkan inisiatif khas kepada penggiat industri pelancongan bertujuan menarik lebih ramai kedatangan pelancong ke negara ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjelaskan, inisiatif khas kepada pengiat industri pelancongan itu akan dibincangkan pada mesyuarat pakej rangsangan ekonomi, petang ini.

Jelasnya, pakej rangsangan ekonomi kepada penggiat industri perlu diperkenalkan termasuk pengecualian cukai sebagai galakan susulan penularan COVID-19 yang sedang melanda negara.

“Inisiatif khas kepada penggiat industri pelancongan itu antara agenda akan dibincangkan pada mesyuarat pakej rangsangan ekonomi di Kementerian Kewangan, petang ini.

“Saya tidak mahu mendahului keputusan mesyuarat. Apa juga bentuk pakej atau inisiatif akan dibincangkan petang nanti dan keputusan hasil mesyuarat itu akan dilaksanakan dengan kadar segera, ” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Pasar Kedai Payang, di Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar,Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim.

Terdahulu, Mohamed Azmin yang juga timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) meluangkan masa kira-kira 30 minit melawat Jambatan Angkat atau ‘drawbridge’ pada lawatan kerjanya di negeri ini.

Ketika ditanya jumlah kedatangan pelancong luar negara ke negara ini, Mohamed Azmin berkata, kerajaan akan memberi tumpuan utama kepada pelancongan dalam negara berikutan penularan COVID-19.

Jelasnya, usaha memperkukuhkan industri pelancongan dalam negara perlu dilakukan dan kerajaan akan memberi perhatian utama termasuk peruntukan segera untuk menaik taraf infrastruktur bagi melonjakkan ekonomi negara dan negeri.

“Jumlah pelancong luar negara ke negara semakin berkurangan, banyak tempahan bilik, program seminar dan persidangan membabitkan penyertaan daripada luar negara dibatalkan.

“Kerajaan tiada pilihan, melainkan mengemukakan pakej rangsangan ekonomi bertujuan menyuntik dana bagi menjana pertumbuhan ekonomi dalam negara demi menjamin kesejahteraan rakyat, ” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Februari 2020 @ 1:57 PM
    Digital NSTP Subscribe