SATU mesin pengimbas haba berharga sekitar RM40,000. FOTO BERNAMA
SATU mesin pengimbas haba berharga sekitar RM40,000. FOTO BERNAMA
Suraya Roslan

AGENSI swasta digalakkan untuk menempatkan pengimbas haba di premis masing-masing terutama di hotel bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, langkah itu dapat membantu kerajaan mengawal penularan wabak berkenaan di Malaysia.

"Kita sudah membuat pemetaan dan 26 unit mesin pengimbas haba (thermal scanner) tambahan adalah mencukupi menjadikan keseluruhan jumlah 80 unit yang diletakkan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) seluruh negara.

"Tetapi, kita amat menggalakkan pihak swasta meletakkan pengimbas haba di premis mereka terutama pemilik hotel sebagai langkah awal mengesan wabak berkenaan," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Kongres Saintifik ke-17 Persatuan Hypertensi Malaysia di sebuah hotel di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, satu mesin pengimbas haba itu berharga sekitar RM40,000.

Diminta mengulas mengenai penubuhan jawatankuasa kerja bersama berkaitan COVID-19 dengan Singapura, Lee berkata, perkara itu belum ditetapkan.

"Pegawai kesihatan kami sedang menuju ke arah itu sebab ada beberapa perkara tidak semestinya selesai dengan pertemuan.

"Ini cuma satu jawatankuasa kerja antara timbalan menteri kesihatan kedua-dua negara yang akan meneliti tiga perkara iaitu perketatkan kawalan sempadan melalui ujian imbasan, perkongsian maklumat kesihatan awam, klinikal atau penyelidikan serta pemindahan pesakit antara dua negara," katanya.

Menurutnya, kerjasama dua hala itu belum ditetapkan sama ada berbentuk pertemuan secara bersemuka atau melalui persidangan video.

"Saya merancang (pertemuan) di Singapura atau Johor Bahru, tetapi perlu meneliti jadual kedua-dua pihak terlebih dulu yang dijangka minggu depan," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai penyakit hipertensi di Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mensasarkan pengurangan kandungan garam 15 peratus dalam pemakanan rakyat Malaysia akhir tahun ini.

"KKM menjalankan kajian mengenai keburukan kandungan garam dalam makanan melalui kempen kesedaran mengenai bahaya hipertensi.

"Sebanyak 73 peratus jumlah kematian di Malaysia disebabkan penyakit tidak berjangkit (NCD) termasuk hipertensi.

"Pada 2015, dianggarkan 6.1 juta pesakit berusia 18 tahun ke atas tidak menyedari mereka mempunyai penyakit tekanan darah tinggi yang dipanggil pembunuh senyap," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Februari 2020 @ 3:01 PM
    Kabinet Malaysia 2020