MOHD Azraai (dua dari kiri) menerima replika Perisian Minyak dan Gas Schlumberger daripada Haitao Sun (dua dari kanan) pada Majlis Penyerahan Rasmi Perisian Minyak dan Gas Schlumberger kepada Fakulti Kejuruteraan Kimia di Bangunan Canselori UiTM Shah Alam. FOTO BERNAMA
Norzamira Che Noh


UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) menjadi antara universiti terawal di negara ini menerima perisian bernilai jutaan ringgit daripada syarikat terkemuka dalam bidang minyak dan gas iaitu Schlumberger (SLB).

Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Dr Mohd Azraai Kassim berkata, penggunaan perisian sebenar seperti digunakan pihak industri mampu memberikan keyakinan kepada pelajar seterusnya meningkatkan kebolehpasaran mereka selepas menamatkan pengajian.

“Kerjasama dilakukan Fakulti Kejuruteraan Kimia UiTM bersama SLB adalah inisiatif besar dalam menjayakan Pelan Strategik UiTM 2025.

“Ini kerana kita mahu meningkatkan kualiti graduan supaya mereka dapat bersaing bukan sahaja dalam negara, tetapi di peringkat antarabangsa dan kerjasama ini bertepatan dengan rancangan kita.

“Perisian disumbangkan SLB kepada UiTM adalah Petrel; ECLIPSE; Techlog; PIPESIM serta Merak Peep dan difahamkan nilai perisian ini mencecah jutaan ringgit.

“Justeru, kita amat bangga kerana menjadi antara universiti terawal menerima perisian berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Rasmi Perisian Minyak dan Gas Schlumberger kepada Fakulti Kejuruteraan Kimia, UiTM di Shah Alam, hari ini.

Turut hadir, Pengurus Operasi Software Integrated Solutions (SIS) Schlumberger Asia Tenggara, Haitao Sun; Timbalan Naib Canselor Akademik UiTM, Prof Dr Mohamad Kamal Harun dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof Datuk Dr Azizan Abdullah.

Mohd Azraai berkata, perisian berkenaan akan digunakan dalam aktiviti pembelajaran dan pengajaran untuk subjek berkaitan dan ia pastinya akan memberi kelebihan bukan sahaja kepada pelajar, tetapi pensyarah serta kakitangan fakulti berkenaan.

Katanya, program perisian berkenaan akan dimasukkan ke dalam modul sub-permukaan seperti geologi kejuruteraan takungan, ekonomi minyak dan gas, pengurusan projek dan paling penting dalam projek ‘Capstone’ seperti Pelan Pembangunan Lapangan (FDP) serta projek Penyelidikan Tahun Akhir (FYP).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Februari 2020 @ 7:14 PM