Hamzah Osman


MENTERI Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman antara pengunjung yang hadir memeriahkan program Media Prima Medical Outreach yang diadakan di Dewan Persatuan Pendidikan Akhlak Chee Boon Kor di sini, semalam.

Program itu anjuran Media Prima Berhad dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN) dan Langkawi Youth Power Club.

Syed Saddiq yang melakukan aktiviti berbasikal di kawasan berhampiran meluangkan masa untuk meninjau dan menjalani pemeriksaan kesihatan di program itu.

Beliau diiringi Ketua Pegawai Operasi IJN Akmal Arief Mohamed Fauzi.

SYED Saddiq melakukan pemeriksaan kesihatan pada program Media Prima Medical Outreach, semalam.

Seramai 350 penduduk tempatan menerima manfaat program berkenaan yang menyediakan pemeriksaan kesihatan jantung percuma selain aktiviti lain.

Nelayan, Zakaria Ishak, 61, berkata, dia berusaha tiba awal di program itu bagi memastikan tidak terlepas peluang menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Kalau mahu ke IJN jauh dan kosnya tinggi, jadi bertuahlah kami kerana mereka datang ke sini dan beri pemeriksaan percuma,” katanya yang menetap di Kampung Penarak di sini.

Sementara itu, Pengurus Tanggungjawab Sosial Korporat, Derma dan Komunikasi Korporat MPB, Muhammad Nazim Ismail berkata, program itu berlangsung dua hari disertai 65 sukarelawan mewakili Briged Sukarelawan Media Prima-New Straits Times Press (NSTP), IJN dan Langkawi Youth Power Club.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 6:02 AM