DR Mahathir melihat penduduk setempat menjalani pemeriksaan kesihatan, hari ini. FOTO BERNAMA.
M Hifzuddin Ikhsan dan Hamzah Osman


PROGRAM Media Prima Medical Outreach dilihat berjaya meningkatkan kesedaran masyarakat luar bandar mengenai penjagaan kesihatan yang lebih sempurna.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, masyarakat luar bandar ada kalanya tidak mengetahui mereka menghidap penyakit seperti diabetes atau masalah jantung sebelum keadaan menjadi lebih serius.

Katanya, penekanan ke atas kesedaran kesihatan termasuk mengetahui keadaan diri sendiri perlu bagi mengelak sebarang penyakit kritikal dalam jangka masa panjang.

“Masyarakat luar bandar kadang-kadang hanya tahu ada penyakit ketika mengalami kemalangan dan dirawat di hospital, disebabkan itu pemeriksaan kesihatan menjadi perkara penting.

“Lebih penting masyarakat luar bandar mesti faham tahap kesihatan mereka sebelum keadaan menjadi serius, (dan) disebabkan itu program seperti ini amat berkesan bagi membantu mereka,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program Media Prima Medical Outreach di Masjid Nurul Islam, Kampung Sungai Itau di Langkawi, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Datuk Syed Hussain Aljunid; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr Aizal Azan Abdul Rahim dan Pengurus Tanggungjawab Sosial Korporat, Derma, Komunikasi Korporat Kumpulan MPB, Muhammad Nazim Ismail.

Program berkenaan mendapat kerjasama IJN, Langkawi Power Youth Club dan 65 sukarelawan mewakili Briged Sukarelawan Media Prima-The New Straits Times Press (NSTP).

Dr Mahathir berkata, masyarakat luar bandar juga perlu mengambil peluang menyertai program berkaitan kesihatan bagi meningkatkan kesedaran.

“Pada masa hadapan, tahap kesihatan masyarakat luar bandar boleh menyamai penduduk bandar jika kefahaman ini dicapai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 1:38 PM