Hannah Yeoh. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Muhaamad Hafis Nawawi


KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mewujudkan 222 Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di seluruh negara secara berperingkat bagi menerapkan gaya hidup sihat dalam kalangan warga emas.

Timbalan Menterinya, Hannah Yeoh berkata, kementerian berhasrat mewujudkan satu PAWE di setiap kawasan parlimen.

“Sebanyak 88 PAWE sudah diwujudkan pada 2018, 44 (2019) dan tahun ini (2020) 25 lagi akan ditambah,” katanya.

Menurutnya, PAWE yang diiktiraf kementerian akan menerima geran sebanyak RM33,330 setahun bagi kegunaan kos operasi seperti membayar bil utiliti, gaji penyelia dan sebagainya.

“Hasrat kita supaya warga emas mempunyai gaya hidup aktif dan sihat dengan adanya PAWE ini di mana mereka dapat mengadakan lebih banyak program.

“Kementerian berharap mereka jangan melihat untuk mengadakan program berbentuk tradisional sahaja seperti memasak dan menyanyi tetapi sekarang ini kita ingin pastikan warga emas memiliki skill (kemahiran) baharu seperti tahu bagaimana ingin mengendalikan WhatsApp dengan bertanggungjawab,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan PAWE Subang Jaya, di Subang Jaya, hari ini.

Beliau berkata, warga emas juga perlu diajar menggunakan sosial media dengan betul supaya tidak menyebarkan berita palsu.

“Kita menggalakkan PAWE mengadakan program integrasi bersama kumpulan sasar lain seperti kanak-kanak dan golongan OKU (orang kurang upaya).

“Selain itu, golongan muda yang ada ahli keluarga warga emas juga boleh menyemak di mana adanya PAWE supaya dapat membabitkan golongan ini dengan aktiviti sihat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 3:05 PM