Syaherah Mustafa


POLIS sudah menyoal siasat beberapa individu bagi membantu siasatan kes rumah seorang pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang terbakar akibat dibaling bom botol oleh individu tidak dikenali, Isnin lalu.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah, berkata bagaimanapun masih belum ada sebarang tangkapan dibuat namun siasatan secara terperinci dijalankan bagi mencari dalang sebenar perbuatan terbabit.

Menurutnya, pihaknya tidak dapat mendedahkan secara menyeluruh berkaitan kes yang berlaku di Kampung Perupok, Pasir Mas itu bagi memastikan siasatan polis tidak tergangu.

“Hasil pemeriksaan, kami menemui pemetik api dan botol berbau petrol. Ia sudah diserahkan kepada bomba untuk siasatan lanjut

“Akibat kejadian ini, mangsa kerugian RM150,000 berikutan 90 peratus garaj kereta terbakar dan dua kenderaan iaitu Mitsubishi Triton dan Toyota Yaris turut musnah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Kampung Angkat Taman Binaraya 3, Pasir Tumboh, di sini, hari ini.

ANGGOTA polis yang tiba di lokasi. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Dalam kenyataannya sebelum ini, Abdullah berkata kejadian itu mungkin ada kaitan dengan kes rampasan ketum memandangkan mangsa adalah pegawai kastam.

Dalam perkembangan lain, Abdullah turut mengesahkan mayat pendaki yang meninggal dunia akibat sesak nafas pada petang Rabu lalu sudah dibawa turun dari Kem Kubang, Gunung Basor, Kuala Balah, Jeli, jam 8.00 pagi tadi.

Menurutnya, mangsa Zulkifli Ibrahim, 43, tahun dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung selepas mendaki gunung terbabit untuk mencari trek baru bagi tujuan membuat trek mendaki bagi pelajar universiti.

“Seramai 11 anggota polis terbabit dalam misi membawa turun jenazah dengan kerjasama agensi keselamatan lain seperti pihak bomba, renjer Jabatan Perhutanan Kelantan dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang mengambil masa selama enam jam untuk turun dari gunung ini.

“Anggota yang bertugas terpaksa meredah sendiri laluan masuk ke hutan kerana bantuan melalui udara menemui jalan buntu akibat awan tebal selain kanopi pokok yang terlalu rapat menyukarkan anggota untuk mencari lokasi mereka,” katanya.

Abdullah berkata, hasil siasatan mendapati mangsa mendaki bersama tiga lagi rakannya sebelum mengalami sesak nafas di salah satu ‘check point’ dan meninggal dunia.

Menurutnya seorang daripada rakan mangsa turun bagi mendapatkan bantuan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 3:20 PM