Tuan Ibrahim. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Mohd Nasaruddin Parzi


PAS tetap meneruskan usul undi percaya kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk kekal menerajui negara sehingga habis penggal.

Ia akan diteruskan walaupun Perdana Menteri sudah mengulangi komitmen menyerahkan kuasa kepada penggantinya selepas sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia (APEC) November ini.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pendirian itu dibuat memandangkan rakyat berhak untuk tahu siapa akan menerajui negara selepas ini.

“Sehingga kini kita akan teruskan (usul undi percaya kepada Perdana Menteri). Rakyat nak tahu siapakah yang menerajui negara. Perdana Menteri adalah hak rakyat, bukan hanya sesuatu parti politik,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, PAS tidak akan meneruskan usul itu jika ada pihak mahu membawa usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri.

“Kalau ada usul tidak percaya, PAS tidak perlu membawa usul yang tujuannya adalah sama,” katanya diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir bahawa beliau akan menunaikan janji untuk menyerahkan kuasa kepada penggantinya selepas APEC.

Beliau berkata, usul undi percaya bukan perkara baru memandangkan usul sama pernah dibentang di Dewan Rakyat pada 1997 oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri, sebagai Timbalan Perdana Menteri ketika itu untuk menyokong Dr Mahathir.

“Perdana Menteri perlu mendapat mandat dan sokongan bagi meneruskan kepemimpinannya,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa dalam ciapan di laman Twitternya memaklumkan, peralihan kuasa Perdana Menteri tidak menjadi isu jika Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat cukup sokongan dalam Pakatan Harapan (PH).

Katanya, ahli parlimen pembangkang tidak perlu terbabit dalam isu peralihan kuasa memandangkan hal sedemikian membabitkan urusan PH sebagai parti pemerintah.

“Usul undi percaya dan hal berkaitan penggantian Perdana Menteri ketujuh kepada Perdana Menteri kelapan adalah urusan kerajaan PH.

“Sekiranya Perdana Menteri ketujuh setuju berhenti dan beliau kata selepas APEC November ini, dan Anwar mendapat sokongan 112 daripada 138 ahli parlimen PH, maka tiada sebarang isu. Tetapi kalau 26 atau lebih ahli parlimen dari PH tidak setuju?” katanya.

Isu peralihan kuasa Perdana Menteri kembali hangat selepas beberapa pimpinan politik terutama daripada PKR menggesa supaya penetapan tarikh peralihan kuasa dibuat dengan lebih jelas.

Majlis Presiden PH dijangka membuat ketetapan mengenai isu peralihan ini Jumaat depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 3:51 PM