Syaherah Mustafa

VIDEO tular memaparkan seorang remaja menunggang motosikal terjatuh ketika dikejar anggota polis trafik adalah kerana terlanggar lopak air dan bukan akibat ditendang.

Dalam kejadian di Jalan Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan, Khamis lalu, video memaparkan remaja berusia 16 tahun yang tidak memakai topi keledar itu dikejar anggota polis trafik, tular di laman sosial.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata dalam kejadian itu anggota polis cuba memintanya untuk berhenti namun tidak diendahkan.

Menurutnya, suspek tidak mengendahkan arahan anggota dan terus menunggang motosikal dalam keadaan merbahaya.

“Ketika anggota mengekorinya, motosikal remaja terbabit hilang kawalan selepas terlanggar lopak air menyebabkan dia jatuh dan mengalami kecederaan ringan namun sudah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Suspek turut ditahan serta dibawa ke balai polis selain menjalani ujian air kencing tetapi hasilnya didapati negatif. Polis juga mengeluarkan lima saman atas kesalahan memandu tanpa lesen, tidak memakai topi keledar dan motosikal tanpa nombor pendaftaran,” katanya.

Abdullah berkata saman juga dikeluarkan kepada pemilik kenderaan kerana membenarkan individu tiada lesen menunggang motosikal selain kesalahan tiada cermin sisi.

PETIKAN video tular memaparkan remaja menunggang motosikal terjatuh ketika dikejar anggota polis trafik selepas terlanggar lopak air dan bukan akibat ditendang.
PETIKAN video tular memaparkan remaja menunggang motosikal terjatuh ketika dikejar anggota polis trafik selepas terlanggar lopak air dan bukan akibat ditendang.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Kampung Angkat Taman Binaraya 3, Pasir Tumboh, di sini, hari ini.

Kenyataan daripada Abdullah itu menyangkal komen segelintir netizen yang mendakwa remaja terbabit disepak anggota polis trafik berkenaan.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya lebih berhati hati dan mengikuti undang-undang jalan raya selain tidak bertindak di luar kawalan jika bertembung dengan anggota polis bertugas.

“Pengguna tidak perlu takut jika tiada kesalahan yang dibuat dan jangan bertindak melulu untuk melarikan diri daripada pihak berkuasa sehingga ia boleh mendatangkan bahaya bukan sahaja kepada diri sendiri malahan pengguna jalan raya lain.

“Pihak polis sentiasa memberi komitmen terbaik dalam tugasan supaya tiada kemalangan jiwa berlaku dan memastikan pemandu mematuhi setiap undang-undang di jalan raya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 5:24 PM