MAKANAN udang yang dirampas. FOTO Ihsan MAQIS.
MAKANAN udang yang dirampas. FOTO Ihsan MAQIS.
Oleh Zuliaty Zulkiffli


JABATAN Perkhidmatan dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas makanan udang yang cuba dibawa masuk ke negara ini di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Bukit Kayu Hitam, semalam.

Rampasan itu diperoleh daripada seorang lelaki hasil pemeriksaan bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Pengarah MAQIS Kedah, Lily Rosalind berkata, hasil pemeriksaan menemui 12 tin artemia, tiga beg pallet udang, dua botol antibiotik dan tiga botol oxypure bernilai RM2,010.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati barangan itu dibawa tanpa dokumen sah seperti permit import yang dikeluarkan MAQIS dan lesen pengimportan Akta Makanan Haiwan 2009.

“Perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa suatu permit yang dikeluarkan MAQIS adalah menjadi satu kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11 (3).

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Lily Rosalind berkata, bagaimanapun tiada tangkapan dilakukan dalam kes itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Februari 2020 @ 8:53 AM