PENGUAT kuasa agama memeriksa tiket nombor ramalan yang dibeli warga emas. FOTO Ihsan JAIK.
PENGUAT kuasa agama memeriksa tiket nombor ramalan yang dibeli warga emas. FOTO Ihsan JAIK.
Safuri Kamarudin


WARGA emas sanggup menunggang motosikal lebih 70 kilometer (KM) dari Kuala Kedah ke pekan Kuala Ketil dekat Baling, semata-mata mahu membeli nombor ramalan.

Bagaimanapun, hajatnya terbantut selepas ditahan penguat kuasa agama di kedai nombor ramalan pada 3.30 petang hari ini.

Pegawai Agama Daerah Baling, Sheikh Mohd Haizan Hamzah berkata, lelaki berusia 71 tahun itu ditahan ketika leka membeli nombor ekor.

“Kita menjumpai resit pembelian nombor ramalan di poket baju lelaki itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Haizan berkata, warga emas itu mendakwa ke Kuala Ketil untuk mencari kawan tetapi sebaliknya ke kedai berkenaan, membeli nombor ekor.

Menurutnya, lelaki berkenaan disiasat mengikut Seksyen (16) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2014 yang boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sheikh Mohd Haizan menasihati umat Islam supaya menjauhi judi walaupun mempunyai masalah kewangan kerana perbuatan itu haram dan ditegah agama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Februari 2020 @ 8:43 PM
Digital NSTP Subscribe