SEBAHAGIAN pelajar antarabangsa dari China keluar dari pintu masuk yang dikawal ketat oleh pihak keselamatan UM. FOTO Aizuddin Saad
SEBAHAGIAN pelajar antarabangsa dari China keluar dari pintu masuk yang dikawal ketat oleh pihak keselamatan UM. FOTO Aizuddin Saad
BERNAMA

UNIVERSITI Malaya (UM) menegaskan pihaknya tidak pernah mengarahkan sukarelawan penuntutnya, melaksanakan sebarang bentuk pemeriksaan kesihatan ke atas pelajar yang baru pulang atau berasal dari China, yang kembali meneruskan pengajian di semester baharu ekoran penularan virus Covid-19.

Dalam satu kenyataan semalam, UM menjelaskan kesemua proses pemeriksaan kesihatan yang dilaksanakan menerusi Prosedur Pengawasan Terpusat yang dijalankan di Kolej Kediaman ke-10 (KK10) itu, dilakukan sepenuhnya oleh pasukan perubatan UM di bawah Klinik Kesihatan Pelajar, yang terdiri daripada pegawai perubatan dan ahli paramedik.

“Dalam masa yang sama, terdapat sekumpulan 14 orang sukarelawan penuntut, yang asalnya berada di KK10 bagi memberi perkhidmatan sukarela mereka, bagi program yang berbeza.

“Namun apabila universiti mengambil keputusan untuk melaksanakan prosedur Pengawasan Terpusat ini, mereka secara sukarela menawarkan diri untuk membantu atas dasar kemanusiaan,” menurut kenyataan itu.

Jelasnya lagi, sukarelawan penuntut itu diberikan tugas membantu urusan pendaftaran dan periksa masuk, iaitu penyerahan kunci bilik kepada para pelajar yang akan melalui prosedur Pengawasan Terpusat berkenaan.

“Perlu ditegaskan bahawa mereka tidak pernah diarah melaksanakan sebarang bentuk proses pemeriksaan kesihatan. Dalam masa yang sama, pembabitan dan peranan yang dimainkan para sukarelawan juga diambil alih secara beransur-ansur oleh kakitangan universiti, bagi memberikan mereka ruang persediaan sebelum kuliah bermula, dan sebagai langkah pengawalan risiko,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan media tempatan dan penularan fakta yang tidak benar, mengenai pendekatan UM dalam menguruskan penularan virus Covid-19.

Laporan itu menyebut sejumlah 550 penuntut dari China yang pulang ke kampus itu mendaftar pada 5 Februari lalu, dan sukarelawan tidak diberi latihan khusus bagi mengendalikan penuntut China, terutamanya selepas isu COVID-19.

UM dalam kenyataan balas itu turut menjelaskan kesemua petugas dan sukarelawan diberikan taklimat, berhubung tatacara pencegahan dan kawalan penyakit, termasuk dibekalkan dengan topeng muka dan bahan pembersih tangan, di samping memastikan kawasan bekerja para petugas dan sukarelawan, adalah bersih dan terkawal.

Pihak universiti juga mengambil inisiatif untuk sentiasa berkomunikasi dengan seluruh warga kampus, bagi memaklumkan perkembangan terkini pendekatan pengurusan penularan virus Covid-19, yang diambil oleh UM dengan setakat ini, sebanyak 18 komunikasi emel dikeluarkan universiti kepada warga kampus, bagi tujuan itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Februari 2020 @ 12:32 AM
    Digital NSTP Subscribe