Suraya Roslan


KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) proses pengambilan anak angkat rentetan ibu bapa cenderung membeli bayi di pasaran gelap.

Timbalan Menterinya, Hannah Yeoh mengakui kemungkinan prosedur atau sistem pengambilan anak angkat sekarang mempunyai kelemahan yang perlu diperbaiki Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kita akan kaji semula SOP bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana proses pengangkatan bukan saja membabitkan JKM tetapi KDN.

“Perbincangan mengenai hal ini (proses pengangkatan) sudah dilakukan tahun lepas dan kami sekarang sedang mencari penyelesaian untuk memudahkan mereka yang mahu mengambil anak angkat supaya tidak pergi ke pasaran gelap,” katanya ketika merasmikan penutup forum Kos Perniagaan Kesihatan Mental di Bangsar, hari ini.

Hannah berkata demikian ketika mengulas laporan khas agensi berita, Bernama mengenai ibu bapa terpaksa membayar pelbagai kos sehingga mencecah RM15,000 bagi mengambil anak angkat menerusi laman sosial.

Hannah berkata, pihaknya akan meminta JKM menyiasat perkara berkenaan.

“Bagi proses pengangkatan, kita sudah mempunyai garis panduan dan peraturan tetapi kita perlu tahu kenapa mereka pergi ke pasaran gelap (untuk mendapatkan bayi).

“Pastinya ada kelemahan dalam sistem sedia ada sampai mereka pergi ke sana (pasaran gelap), jadi saya mohon sesiapa yang mempunyai maklumat supaya tampil menyalurkannya kepada KDN,” katanya.

HANNAH Yeoh. FOTO Mustaffa Kamal
HANNAH Yeoh. FOTO Mustaffa Kamal

Dalam perkembangan sama, Hannah berkata, dia menyeru ibu bapa supaya tidak membeli bayi secara atas talian dan pergi ke saluran yang betul untuk mendapatkan anak angkat.

“Jangan sokong pasaran gelap, di JKM kita mempunyai senarai menunggu bagi mereka yang mahu mendapatkan anak angkat dan boleh juga pergi ke badan bukan kerajaan yang sedia ada sistem pengangkatan,” katanya.

Sementara itu, Hannah berkata, JKM menerima 6,107 jumlah panggilan menerusi Talian Kasih JKM dan daripada jumlah itu 1,453 kes membabitkan mereka yang memerlukan kaunseling dan psikologi, tahun lalu.

“Daripada jumlah itu, 685 panggilan diterima membabitkan kes penderaan kanak-kanak, 203 penderaan mental dan fizikal serta 15 kes penderaan mental,” katanya.

Menurutnya, setakat ini pihaknya mempunyai 11 Psychological Care Centre (PCC) seluruh negara bagi memudahkan orang ramai mendapatkan khidmat kaunseling secara percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Februari 2020 @ 1:37 PM