ROSMAH dan Najib akan dipanggil memberi keterangan susulan pendedahan rakaman audio SPRM. FOTO Eizairi Shamsudin
ROSMAH dan Najib akan dipanggil memberi keterangan susulan pendedahan rakaman audio SPRM. FOTO Eizairi Shamsudin
Muhaamad Hafis Nawawi


BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor akan dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan susulan pendedahan rakaman audio oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum hujung bulan ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya akan memanggil kedua-dua mereka dalam masa terdekat sebelum hujung bulan ini.

Menurutnya, keterangan mereka akan diambil bagi membantu siasatan.

“Kita akan maklumkan nanti apabila mereka dipanggil untuk direkodkan keterangan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di Kuala Lumpur, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan polis sedang mendapatkan tarikh sesuai bagi membolehkan bekas perdana menteri dan isterinya datang ke Bukit Aman untuk dirakamkan keterangan.

Rakaman percakapan itu akan dilakukan di Bukit Aman mengikut prosedur operasi standard (SOP) biasa, walaupun ada pihak mencadangkan ia dibuat di kediaman Najib bagi mempercepatkan proses siasatan.

Untuk rekod, polis sudah merakam percakapan 12 daripada 20 individu yang disebut dalam sembilan set rakaman audio berdurasi 45 minit yang didedahkan SPRM.

Antara individu terbabit adalah bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Tan Sri Shukry Mohd Salleh, bekas Pegawai Khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin dan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Pada 15 Januari lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, memberi keterangan hampir empat jam kepada polis berkaitan rakaman audio berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Februari 2020 @ 3:40 PM
Digital NSTP Subscribe