PINTASAN Saloma yang menjadi tarikan baru pelancong di Kampung Baru. FOTO Asyraf Hamzah
PINTASAN Saloma yang menjadi tarikan baru pelancong di Kampung Baru. FOTO Asyraf Hamzah
Raja Noraina Raja Rahim


PENGAWAL keselamatan ditempatkan di jambatan pejalan kaki Pintasan Saloma (Saloma Link) bagi memantau kawasan itu daripada perbuatan vandalisme atau ‘dihuni’ gelandangan.

Tinjauan Harian Metro mendapati, terdapat beberapa pengawal keselamatan yang bertugas di kedua-dua laluan masuk ke jambatan berkenaan.

Selain itu, jambatan berkenaan turut dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) untuk memudahkan pemantauan keselamatan dan memastikan tiada masalah gelandangan atau vandalisme.

Jambatan sepanjang 370 meter yang baru dibuka pada awal Februari itu ternyata mencuri tumpuan orang ramai apabila dipenuhi pengunjung meskipun pada hari biasa terutama pada waktu malam.

Seorang pengunjung, Mohd Badrul Hisham Ramli, 29, berkata, dia membawa isteri dan dua anak berusia tujuh serta dua tahun melihat sendiri keunikan Pintasan Saloma selepas tular di media sosial.

Pemilik kedai makan di Bandar Baru Ampang, Selangor itu mengakui terpegun dan bangga melihat reka bentuk serta sistem pencahayaan canggih yang memaparkan identiti Malaysia.

"Kali pertama datang, saya sudah terpegun dengan keindahan dan pemandangan ketika berada di atas jambatan. Saya pernah lihat jambatan ini semasa pembinaan tetapi tidak sangka pula ia dibina sebaik ini.

"Saya berharap tempat ini tidak dicemari perbuatan yang merosakkan harta awam. Sewajarnya pengawal keselamatan diletakkan untuk memantau kawasan ini," katanya ketika ditemui Harian Metro.

SIMBOL ikonik baharu ibu negara itu dibina berhampiran Stesen LRT Kampung Baru merentasi Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH). FOTO Asyraf Hamzah
SIMBOL ikonik baharu ibu negara itu dibina berhampiran Stesen LRT Kampung Baru merentasi Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH). FOTO Asyraf Hamzah

Sementara itu, kakitangan swasta, Jumaah [email protected], 53, berkata, setiap hari dia melihat proses pembinaan jambatan berkenaan kerana menetap di Kampung Baru dan menyimpan hasrat untuk berkunjung sebaik siap dibina.

"Jambatan ini antara perancangan pembangunan semula Kampung Baru dan menjadi kebanggaan penduduk. Tambah pula, konsep seni binanya yang menerapkan ciri Melayu.

"Saya nampak setiap hari ada pengunjung datang merakam gambar terutama pada waktu senja dan malam. Saya harap keindahan tempat ini dijaga dan tidak dirosakkan," katanya yang datang bersama isteri dan lima anak.

Terdahulu, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dilaporkan berkata, seramai 120 penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan ditempatkan di Pintasan Saloma bagi mengelak daripada dicemari vandalisme dan gelandangan.

Jambatan yang menelan kos RM31 juta itu dibina berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Kampung Baru merentasi Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) menghubungkan Jalan Saloma terletak di sisi bangunan Menara Public Bank berhadapan Jalan Ampang.

Ia dilengkapi sistem pencahayaan canggih yang menonjolkan keunikan jambatan itu pada waktu malam, sama seperti Bridge of Peace di Tbilisi, Georgia namun kelainan konsep seni binanya inspirasi 'Sirih Junjung' yang sinonim dengan adat resam budaya Melayu.

Sejak 5 Februari lalu, lokasi terbaru itu menjadi tumpuan pelancong tempatan dan luar negara bergambar berlatarkan Menara Berkembar Petronas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Februari 2020 @ 2:26 PM