Yusmizal Dolah Aling


LIPUTAN media yang positif dan meluas dapat mengukuhkan jenama Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) menjadikan setiap perkhidmatan yang ditawarkan lebih dikenali dan menjadi pilihan masyarakat.

Antara contoh kejayaan agensi itu adalah pencapaian Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) yang mencatatkan 286,428 pembayar cukai tampil membuat pengakuan membabitkan jumlah cukai, cukai tambahan dan penalti sebanyak RM7.877 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, dengan sasaran baharu kutipan cukai berjumlah RM154.676 bilion yang ditetapkan tahun ini, pihaknya perlu sentiasa berada di hadapan dalam memastikan kesedaran cukai dapat ditingkatkan agar hasil negara kekal mampan dan menjamin kesejahteraan rakyat.

Katanya, signifikan hubungan rapat LHDNM dengan media juga terbukti apabila berjaya mengutip cukai langsung tertinggi tahun lalu sebanyak RM145.110 bilion.

“Ia peningkatan sebanyak RM8.076 bilion atau 5.89 peratus berbanding tahun 2018,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Media di ibu negara, semalam.

Dr Sabin berkata, majlis itu diadakan bagi mengiktiraf peranan agensi media dalam membangunkan negara dan penghargaan kerana laporan berita serta publisiti membabitkan LHDNM.

Pada majlis itu, Harian Metro juga menerima penghargaan dari LHDNM di atas kerjasama yang terjalin selama ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Februari 2020 @ 5:47 PM
Digital NSTP Subscribe