GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amir Abd Hamid


IBU Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor semakin kurang menerima aduan laporan palsu berkaitan Covid-19 disebarkan di media sosial.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, ini berikutan kesedaran orang ramai yang semakin meningkat.

Beliau berkata, tindakan tegas dilakukan pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkesan meningkatkan kesedaran orang ramai supaya tidak berkongsi berita palsu Covid-19.

“Dari semasa ke semasa, polis mengambil tindakan tegas terhadap penyebar berita palsu khususnya dalam hal ini berkaitan Covid-19.

“Malah, ada kes yang sudah dibawa ke mahkamah untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

NOOR Azam (tengah) menyaksikan serah terima tugas Abdul Aziz kepada Wan Kamarul Azran (kanan). FOTO Samadi Ahmad
NOOR Azam (tengah) menyaksikan serah terima tugas Abdul Aziz kepada Wan Kamarul Azran (kanan). FOTO Samadi Ahmad

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan penyerahan serah terima tugas Ketua Polis Daerah Sepang di antara Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali kepada pengganti, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Datuk Fadzil Ahmat.

Sementara itu, Noor Azam turut memuji Abdul Aziz sepanjang bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Sepang sejak Mei 2015.

“Ini terbukti dengan penurunan indeks jenayah termasuk tahun lalu sebanyak 2.58 peratus,” katanya.

Abdul Aziz, 57, bertukar ke Johor sebagai Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti.

WAN Kamarul Azran Wan Yusof. FOTO Amir Abd Hamid
WAN Kamarul Azran Wan Yusof. FOTO Amir Abd Hamid

Sementara itu, Wan Kamarul, 53, berkata, pelantikannya dianggap sebagai cabaran antaranya disebabkan daerah Sepang sedang menuju menjadi bandar besar dan pesat dikenali dunia berikutan kedudukannya berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hab komunikasi maklumat Cyberjaya dan pusat pentadbiran negara di Putrajaya.

Sebelum ini, Kamarul Azran berasal dari Seberang Takir, Terengganu adalah Ketua Polis Daerah Muallim, Perak berpangkat Superintendan dan sudah berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 25 tahun.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Februari 2020 @ 12:07 PM