Nurul Hidayah Bahaudin


EMPAT pegawai dan anggota polis ditahan semalam selepas dipercayai terbabit dengan kejadian peras ugut dan rasuah berjumlah RM3 juta berhubung penemuan makmal dadah di sebuah kondominium di Cheras, di sini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika mengesahkan tangkapan itu berkata, pihaknya akan mengambil tindakan dan mengumpul maklumat berhubung kejadian berlaku pada 12 Februari lalu itu.

“Pasukan siasatan bagi menyiasat perkara itu sudah ditubuhkan. Malah kami sudah mengenal pasti mereka yang dikatakan terbabit dalam perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

“Apabila semua bukti dikumpulkan nanti, mereka yang terbabit akan ditahan kerana tiada kompromi dalam isu ini,” katanya ketika sidang media pada Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Penggantian Lif di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Beliau turut mengesahkan empat pegawai dan anggota polis yang ditahan itu bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, namun kes pembongkaran makmal memproses dadah di Cheras itu disiasat Polis Kuala Lumpur.

“Bagaimana pembabitan mereka (suspek) dalam kes ini akan disiasat. Mungkin apa yang dilakukan adalah tanpa pengetahuan pegawai kanan mereka.

“Kami akan melakukan siasatan secara menyeluruh dalam semua aspek dan tidak akan ada (pihak) yang akan terlepas dalam soal ini,” katanya.

GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN

Abdul Hamid berkata, siasatan kes berkenaan akan diambil alih oleh Bukit Aman untuk tindakan lanjut.

“Wang (RM3 juta) itu masih belum ditemui. Siasatan ini masih di peringkat awal.

“Saya rasa pasukan siasatan khas sedang melakukan soal siasat terhadap mereka dan perkara itu akan didedahkan,” katanya.

Sebelum ini, satu portal berita melaporkan empat pegawai dan anggota yang ditahan terdiri daripada Inspektor dan Koperal bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor.

Empat suspek ditahan di IPK Selangor pada 9.45 pagi, semalam.

Ia ekoran laporan polis dibuat seorang ahli perniagaan Taiwan berusia 49 tahun berhubung kejadian peras ugut dan rasuah berkenaan selepas ditahan dalam serbuan pembongkaran makmal memproses dadah berkenaan.

Isnin lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim memaklumkan pihaknya menahan dua individu warga Taiwan, seorang warga China dan seorang warga tempatan berusia antara 30 hingga 49 tahun ekoran pembongkaran makmal memproses dadah itu.

Dalam serbuan berkenaan, polis merampas 1,426 pil ekstasi dan 27,546 gram ketamin selain menyita kenderaan serta wang tunai dianggarkan bernilai RM2.23 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Februari 2020 @ 3:02 PM