KESAN kecederaan dialami mangsa dipercayai akibat didera.  FOTO IHSAN MALAYSIAN TAMILAR KURAL
KESAN kecederaan dialami mangsa dipercayai akibat didera. FOTO IHSAN MALAYSIAN TAMILAR KURAL
Zuhainy Zulkiffli


PENCUCI pinggan direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes dera membabitkan anak perempuannya berusia 10 tahun.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, siasatan awal mendapati wanita berusia 41 tahun tiada rekod jenayah, manakala saringan ujian air kencing didapati negatif dadah.

“Pemeriksaan doktor mendapati kanak-kanak itu mengalami pelbagai kecederaan di bahagian tubuh.

“Mangsa mendakwa dipukul ibu kandungnya, namun siasatan polis mendapati kesan kecederaan itu dilakukan bapa tirinya menggunakan pisau yang dipanaskan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pihak polis sedang mengesan bapa tiri mangsa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.

Terdahulu, Presiden Malaysian Tamilar Kural, David Marshel berkata, pihaknya menemui kanak-kanak malang di Pulau Tikus, Georgetown pada 9.30 pagi 11 Februari lalu.

Menurutnya, ketika ditemui, badan kanak-kanak itu didapati mempunyai kesan luka terutama pada kaki dan tangannya.

“Kanak-kanak itu mendakwa dipukul di bahagian badan selain ditekap dengan besi panas.

“Kami mengesyaki dia didera lalu membawanya menjalani pemeriksaan kesihatan di klinik berhampiran sebelum membuat laporan di Balai Polis Pulau Tikus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Februari 2020 @ 7:58 PM