X
NORINI Isha, 57, menadah air di Kampung Sungai Jerneh, Alor Gajah. FOTO HASSAN OMAR
NORINI Isha, 57, menadah air di Kampung Sungai Jerneh, Alor Gajah. FOTO HASSAN OMAR


SYARIKAT Air Melaka Berhad (SAMB) akan memulakan catuan bekalan air fasa ketiga bermula Isnin ini hingga 8 Mac depan.

Ia adalah lanjutan daripada catuan air fasa kedua yang sedang berlangsung dari 7 Februari lalu hingga Ahad ini.

Timbalan Pengerusi SAMB, Datuk Halim Bachik berkata, lanjutan itu terpaksa dilakukan berikutan paras air di tiga empangan utama, iaitu Empangan Durian Tunggal di sini dan Empangan Jus serta Empangan Asahan di Jasin masih belum mencatatkan peningkatan paras air.

Menurutnya, SAMB terpaksa melaksanakan langkah fasa ketiga kerana setakat ini belum ada hujan di kawasan tadahan hujan di ketiga-tiga empangan berkenaan.

“Pengguna harus bersabar kerana langkah ini adalah untuk memastikan mereka terus menikmati bekalan air berterusan hingga musim panas Monsun Timur Laut dijangka berakhir pada hujung Mac depan,” katanya di sini hari ini.

Kerajaan negeri mula melaksanakan catuan air fasa pertama dari 29 Januari hingga 9 Februari lalu sebelum melanjutkannya dalam fasa kedua dari 10 Februari lalu hingga Ahad ini.

Bagi meringankan beban pengguna, SAMB menyediakan 132 pusat agihan setempat bagi memudahkan penduduk mengambil air.

Catuan itu membabitkan 550,673 orang, iaitu 62.8 peratus penduduk Melaka dan hospital, kawasan industri dan pusat pelacongan dikecualikan dalam fasa pertama tetapi dalam fasa kedua, ia turut membabitkan kawasan industri dan pusat pelancongan.

Semalam Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari dilaporkan mengadakan perbincangan dengan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Putrajaya mengenai isu bekalan air di negeri ini.

Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong yang turut serta dalam perbincangan itu dilaporkan berkata, Kementerian Kewangan memberi jaminan menyokong permintaan negeri ini bagi mengatasi masalah air.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 11:31 AM
Kabinet Malaysia 2020